Tuesday, January 27, 2009

Suatu Cerita...

Ada sebuah keluarga yang bahagia tinggal dikawasan perumahan mewah diselatan Ibukota Kuala Lumpur. Keluarga ini kecil sahaja. Ketua keluarganya bernama Encik Zahar – seorang pengarah syarikat ternama. Isterinya bernama Azizah – seorang wanita yang pendiam, baikhati dan sangat bertimbangrasa. Mereka mempunyai seorang anak gadis remaja bernama Zalina dan...seekor kucing betina bernama Mia. Mia telah dibela oleh keluarga ini sejak kecil dan merupakan kucing kesayangan keluarga ini lebih-lebih lagi kepada puan Azizah.

~ Lama dahulu, selepas melahirkan Zalina, puan Azizah mendapati dirinya tidak boleh lagi melahirkan anak. Puas mereka cuba berubat namun tidak berhasil. Akhirnya mereka menerima hakikat yang zuriat mereka terhenti pada Zalina. Bagaimanapun mereka tetap bersyukur dianugerahkan seorang anak perempuan yang kemudiannya membesar menjadi seorang gadis yang bijak dan baik.

Pernah puan Azizah menimbangkan untuk mengambil seorang anak angkat untuk menambah seri keluarga. Sebenarnya puan Azizah sangat merindukan kehadiran anak kecil apatah lagi Zalina telah hampir menjadi dewasa. Encik Zahar dan Zalina sangat bersetuju dan gembira dengan cadangan itu. Tetapi sesuatu yang malang telah berlaku, puan Azizah jatuh sakit secara tiba-tiba dan setelah berjumpa doktor, keluarga itu menerima suatu kenyataan yang sangat pahit...puan Azizah rupanya mengidap barah rahim yang kronik dan mengikut saranan doktor ianya tidak dapat disembuhkan kecuali menjalani pembedahan. Diagnosis doktor mengatakan puan Azizah tidak akan hidup lama jika tidak menjalani pembedahan secepat mungkin. Saranan itu ditolak keras oleh puan Azizah. Dia tidak mahu rahimnya dibedah dan dibuang. Katanya kalaupun dia mati, dia mahu mati dalam keadaan yang sempurna anggota walaupun ianya parah. Kedegilan puan Azizah terhadap perkara itu membuatkan keluarga itu duduk dalam keadaan sedih. Perkara itu membuatkan puan Azizah membatalkan hasratnya untuk mengambil anak angkat.

Waktu berlalu. Zalina telah mulai bekerja menjadikan puan Azizah tinggal kesunyian dirumah besar itu. Walaupun dia mempunyai orang gaji sebagai teman berbual, namun kesepian dan ‘kekurangan’nya selalu menghimpit jiwa. Hatinya selalu berasa sayu dan hiba.

Pada suatu malam, ketika suaminya sedang lena disebelah, puan Azizah tidak dapat melelapkan mata. Entah kenapa pada malam itu hatinya terasa resah berdebar-debar, walhal ianya bukan malam yang pertama keresahan mengganggu fikiran dan jiwa apatah lagi jika memikirkan nasib suami dan anaknya setelah dia mati nanti. Kegelisahannya waktu itu terasa berbeza sekali..dia bagai merasa ada sedikit kegembiraan dalam gelisahnya malam itu. Pelik sekali perasaannya kali ini. Ketika itulah dia mendengar suara seekor kucing mengiau sayu sayup diluar. Puan Azizah pun turun dan keluar rumah mencari suara kucing itu lalu berjumpa seekor anak kucing didalam longkang seberang jalan. Tanpa berfikir lagi puan Azizah terus turun kedalam longkang ditengah malam itu buat menyelamat sianak kucing dan dari saat itulah anak kucing tersebut menjadi sebahagian dari keluarga puan Azizah. Anak kucing itu diberi nama Mia.

Kini Mia telah besar dan menjadi teman rapat puan Azizah. Semua dalam keluarga itu tahu yang Mia adalah penawar duka puan Azizah. Malah Encik Zahar dan Zalina sendiri kini secara anehnya merasa senang jika meninggalkan puan Azizah tatkala mereka out-station. Kucing berbulu putih dan mempunyai tompok hitam dimatanya itu sangat pandai mengambil hati tuannya. Selalu kelihatan puan Azizah bercakap-cakap dengan Mia dan Mia seolah-olah mengerti apa yang diperkatakan. Biar kemana pun ia merayau tetapi jika mendengar puan Azizah memanggil, ia akan meluru berlari kepangkuan tuan kesayangannya. Mia akan membiarkan puan Azizah mengusapnya hingga puan Azizah terlena.

Pernah sekali ketika orang gaji pulang bercuti, puan Azizah yang berada didalam bilik telah memanggil Mia berkali-kali namun Mia tidak datang tapi suaranya kedengaran mengiau nyaring didapur. Puan Azizah turun kedapur dan mendapati Mia sedang duduk mengiau memandang dapur yang berasap. Rupa-rupanya puan Azizah lupa hendak menutup api dapur. Bila puan Azizah menceritakan tentang kejadian itu pada encik Zahar dan Zalina, mereka terkejut dan terharu kagum dan mula menganggap Mia adalah seekor kucing yang boleh berfikir bijak.

Akhirnya tiba waktu yang amat memilukan keluarga itu. Puan Azizah semakin tenat dan akhirnya meninggal dunia. Seluruh keluarga itu merasa teramat sedih walaupun mereka telah cuba untuk bersedia dengan situasi itu. Disaat-saat akhirnya Mia tidak pernah berenggang dengan puan Azizah. Dia akan duduk berbaring ditepi tuannya dengan wajah sayu seolah-olah mengerti apa yang sedang berlaku. Setelah ketiadaan puan Azizah, Mia kadang-kadang mengiau panjang sayu didalam rumah besar itu seakan memanggil puan Azizah membuatkan hati keluarga itu tersentuh pilu.

Beberapa tahun kemudian encik Zahar telah berkahwin lagi walaupun ditentang hebat oleh Zalina. Encik Zahar masih agak muda ditambah lagi dengan pesan arwah isterinya yang mahu encik Zahar mencari penggantinya demi tidak mahu suaminya kesunyian setelah ketiadaannya. Zalina akhirnya terpaksa menerima walaupun ianya pahit. Tidak lama kemudian Zalina pun berpindah rumah dengan alasan mahu berdikari.

Tinggallah encik Zahar bersama isteri barunya yang bernama Rosmah dirumah besar tersebut. Rosmah cukup senang duduk disitu dan menganggap dirinya sebagai puan besar rumah itu. Rosmah agak muda dan seksi. Suka berdandan dan bergaya. Cukup pandai menghiburkan hati encik Zahar lebih-lebih lagi jika dia mahukan sesuatu. Tapi tingkahnya keji dan buruk. Suaranya selalu kedengaran memberi perintah itu dan ini pada orang gaji. Dia akan meminta orang gaji menghantar makanan kekatil dan berbagai lagi lagak buruk yang ditirunya dalam lazim cerita orang kaya barat. Disebalik semua itu, ada sesuatu mengenai Rosmah yang tidak orang lain tahu walaupun encik Zahar sendiri. Rosmah sebenarnya adalah seorang yang lemah jantung dan terpaksa memakan pil dari masa kesemasa.

Suatu hari Rosmah mengamuk bila mendapati ada najis Mia didalam bilik tidurnya, sesuatu yang tidak pernah Mia lakukan sebelum ini. Sejak itu Rosmah mula membenci Mia. Rosmah memujuk encik Zahar untuk membuang Mia tetapi encik Zahar enggan dan menganggap perkara itu sesuatu yang remeh. Mia mula buat perangai. Dia akan mengoyakkan sesuatu, kencing dan berak dimerata tempat dalam rumah, juga menjadi sangat garang jika disentuh kecuali pada orang gaji dan Zalina. Rosmah telah cuba menghalau Mia tanpa pengetahuan encik Zahar tetapi Mia tetap kembali. Pernah Rosmah memerangkap Mia lalu dibungkusnya kedalam guni dan dicampak jauh dari rumah, tetapi dua hari kemudian Rosmah terkejut bila mendapati Mia duduk senang diatas sofa ruang tamu sambil menjilat-jilat bulunya. Rosmah memaksa orang gaji membantunya menangkap Mia namun Mia dapat lari bersembunyi. Akhirnya Rosmah menjadi bosan dan tidak lagi peduli namun akan memarahi orang gaji jika Mia buat hal.

Suatu hari, orang gaji yang tidak tahan lagi dengan perangai buruk Rosmah telah berhenti bekerja. Encik Zahar segera mendapatkan orang gaji berbangsa Filipina yang agak lembab orangnya. Pada masa yang sama, Mia telah bunting. Hari-hari berikutnya Mia tidak lagi kelihatan diruang rumah itu. Rosmah merasa sangat lega dan senang. Tetapi pada suatu malam, Rosmah terdengar halus suara anak kucing. Ketika itu encik Zahar bertugas ke luar negeri untuk beberapa hari. Rosmah bergegas mencari bunyi itu sambil kecuh menyuruh orang gaji barunya mencari sama. Kemudian mereka berjumpa tiga ekor anak kucing baru lahir didalam almari baju peninggalan arwah puan Azizah didalam bilik stor.
‘ ini tentu anak kucing haram tu!..’ getus Rosmah geram. Dia kemudian menyuruh orang gajinya membungkus anak-anak kucing tersebut dalam plastik sampah lalu dibuang kedalam tong sampah depan rumah. Esoknya lori sampah datang mengangkut buangan depan rumah sambil Rosmah memerhati dari tingkap dengan rasa puas dan senang. Malam itu kedengaran suara Mia mengiau-ngiau nyaring mencari anak-anaknya disekitar ruang rumah. Rosmah menarik senyuman sinis dikatilnya. ‘ padan muka kau..’ getus hatinya. Tak kuasa dia hendak melayan nyaring suara kucing itu lalu memakai ear-phone mendengar lagu2 kegemarannya sambil berbaring dikatil. Akhirnya suara Mia semakin sayup dan menghilang.

Hari berikutnya sesuatu yang menyeramkan berlaku. Dimana saja Rosmah berada, dia akan melihat Mia sedang merenungnya dari jauh. Dari tingkap, disudut dinding, dimuka pintu. Dimana-mana saja akan kelihatan Mia duduk merenung Rosmah. Beberapa kali Rosmah akan membaling majalah atau menghambat dengan penyapu menghalau Mia namun kemudian Mia tetap kembali merenungnya dari sudut-sudut. ‘lantaklah..apa kucing haram tu boleh buat..!’ bentak hati Rosmah walaupun disudut hatinya agak seram dengan perkembangan terbaru itu.

Pagi itu ketika Rosmah sedang mandi, tiba-tiba dia diserang strok. Rosmah memegang dadanya yang bagai dicucuk-cucuk sambil memakai tuala cuba keluar dari bilik mandi mencari ubat pil yang terletak diatas meja solek. Ketika hendak mengambil pilnya, strok menyerang lagi tajam membuatkan Rosmah lemah terjatuh lalu menarik sama alas meja soleknya membuatkan botol pilnya jatuh kelantai. Rosmah sedaya upaya mengensut dengan nafas tersesak hendak mencapai botol pil yang hanya beberapa inci saja dari tangan dan ketika itulah Mia berlenggang masuk kedalam bilik, tenang sahaja. Mia kemudian duduk didepan botol pil dengan wajah seperti kehairanan melihat Rosmah yang kesakitan memegang dada cuba mencapai botol pil tersebut. Wajah Rosmah kemudian menjadi pucat terbeliak biji mata bila melihat Mia mula bermain-main dengan botol pil itu dan menguis-nguisnya semakin jauh dari capaian Rosmah.

Petang itu Zalina singgah untuk menziarahi Rosmah atas pesanan encik Zahar yang gagal menghubungi isteri barunya itu. Zalina hairan melihat pintu rumah terbuka. Dia masuk sambil memanggil Rosmah. Panggilannya tak berjawab. Orang gaji Filipina pun tak nampak batang hidung menambah rasa hairan Zalina. Apabila Zalina naik kebilik Rosmah, dia terkejut! Kelihatan Rosmah yang hanya bertuala terbaring kaku dilantai dengan mata terbeliak. Mukanya tampak bergaris luka seperti kena cakar. Disisinya..Mia sedang duduk tenang merenung mayat Rosmah. Mia kemudian memandang Zalina buat beberapa ketika dan kemudian melompat keluar dari tingkap rumah dan tak pulang-pulang lagi.

5 comments:

qunia said...

wahh.. macam the twilight zone!

Sulela said...

Huuuu...seram la. Mungkin Mia tu nak balas dendam kat perempuan jahat tu. Sampai hati dia pegi buang anak2 Mia yang semestinya comel tu...

Anonymous said...

simple.. i like..

Anonymous said...

...sib baik aku tak bela kucing..hahaha..

S@Y@NGH@SNI said...

tak tahu ler kucing ni pandai berdendam ke tidak. tapi kalu dah lama bela, memang ada kucing yang boleh selamatkan tuannyer. masa kecil dulu kucing yus pernah tiba-tiba jadi garang rupanyer ada ular dalam rumah.

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam