Friday, February 20, 2009

Suatu Cerita...

Tuan Joned sedang duduk senang dikerusi empuk sambil memandang keluar tingkap dibilik pejabatnya awal petang itu. Semua kakitangannya yang lain sudah balik kecuali setiausaha sulitnya bernama Julie yang juga merangkap calon isteri ketiganya. Tuan Joned sebenarnya sedang menunggu waktu untuk ditemuramah oleh seorang wartawan yang akan memaparkan kisah hidupnya didalam sebuah majalah tempatan...sesuatu yang sangat ditunggu-tunggunya sepanjang kariernya sebagai seorang ahli perniagaan atau lebih tepat lagi seorang kontraktor pembinaan yang kaya-raya. Mungkin selepas ini dia akan mendapat gelaran Datuk yang tentunya akan melonjakkan namanya dikalangan rakan2 dan orang kampung.

Sememangnya rezeki Tuan Joned cukup melimpah sejak dia mencebur diri dalam dunia perniagaan pembinaan. Tuan Joned tidak pernah menyangka akan menjadi begitu kaya. Sepuluh tahun dahulu, dia hanya seorang buruh kasar yang terpaksa bekerja dibawah terik matahari. Bergelumang dengan debu dan habuk. Terpikul dibahunya bukan saja kerja-kerja berat malah juga beban kemiskinan. Kadangnya dipandang rendah oleh segolongan manusia lain yang nasib mereka lebih baik. Hanya Tuhan yang tahu betapa dendam peritnya bekerja dibawah orang. Ada masa ditipu tauke dan kerap pula terasa bagai pengemis tatkala menuntut upah kerja.

Dia teringat bagaimana dirinya terasa begitu kecil dan kerdil bila berdepan dengan tauke-tauke yang muncul dengan pakaian kemas dan kereta besar melihat tapak-tapak projek mereka. Kadangnya tauke-tauke itu hampir tidak memandang langsung kepada orang sepertinya, umpama buruh2 itu hanya sekelompok manusia yang tiada nilai, hina dan buruk. Kadangnya timbul dendam pada tauke-tauke yang sebegitu. Tapi apa yang boleh dilakukan, dia sekadar manusia kerdil yang mengharap pekerjaan dari golongan manusia yang bergelar tauke demi untuk mengisi kantung perut diri dan keluarganya. Hidupnya dirasakan penuh dengan beban...beban kemiskinan dan maruah yang tercalar.

Ada masanya dia berangan-angan menjadi seorang tauke yang kerjanya hanya berbual dalam telefon dan menandatangani surat-surat kontrak dibilik pejabat berhawa dingin. Ada masanya dia terbayang-bayang bermain golf sambil berbual tentang projek2 seperti yang selalu dia dengar dari perbualan tauke-taukenya. Namun anganan itu luput bila mengenangkan tahap kelayakannya. Masakan dia dapat menjadi orang besar2 sedangkan dia hanya bersekolah hingga ke darjah enam sahaja. Selepas itu dia diminta berhenti dan menolong bapanya menoreh. Hanya setelah bapanya meninggal dunia, barulah dia dapat melepaskan diri ke kota besar mencari pekerjaan lain. Macam2 kerja pernah dilakukannya. Mula2 dia menjadi pelayan restoran, kemudian mendapat tawaran sebagai security guard tetapi tidak lama kerana kemudian rakannya ditembak penjenayah yang cuba memecah masuk bangunan. Setelah itu dia menjadi seorang tukang kebun sekolah dan disitulah dia didedahkan kepada kerja2 pembinaan apabila sekolah itu diperbesarkan. Akhirnya dia mengikut seorang rakan menjadi buruh binaan hinggalah dia berkahwin dan beranak-pinak. Beban hidup mula menunggang kebahu. Dia tidak tahu apakah cara dia dapat mengubah nasib dirinya untuk menjadi orang senang seperti tauke-taukenya...hinggalah pada suatu hari itu!

Ketika itu dia dan rakan2 buruhnya sedang bekerja untuk seorang tauke kontraktor melayu bernama Ibrahim. Mereka sedang menyiapkan projek sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat dibandar selatan. Khabarnya tauke melayu itu mempunyai seorang rakan kongsi berbangsa cina. Encik Ibrahim agak muda orangnya dan mempunyai sifat yang baik, jujur dan teliti dalam kerjanya. Hal kebajikan pekerja tidak pernah diabaikan. Boleh dikatakan antara ramai-ramai tauke, encik Ibrahim adalah antara yang terbaik yang pernah menjadi taukenya. Tapi sememangnya lumrah dunia, insan yang baik dan jujur jarang bertahan lama dalam perniagaan...mungkin dalam dunia itu sendiri!

Malam itu Joned tidak dapat tidur. Rumah kongsi yang didiaminya bersama rakan2 lain sejak projek pembinaan itu bermula terasa panas semacam. Hatinya juga agak rindu pada orang rumah dan anak2 yang ditinggalkan demi kerjanya. Beberapa ketika kemudian, Joned keluar untuk menghirup udara malam meninggalkan rakan2 lain yang nyenyak tidur dek kepenatan. Dia berjalan kearah tapak bangunan yang tidak jauh dari rumah kongsi. Terdengar suara lolongan anjing bersahutan sayup. Tersergam beberapa meter didepannya berbalam-balam kelihatan kerangka bangunan separuh siap itu menangkap pandangan. Memang Joned akan merasa bangga bila melihat bangunan-bangunan yang dibinanya, mungkin bukan ‘yang dibina olehnya’ tetapi dia terlibat secara langsung dalam pembinaan bangunan tersebut. Mungkin satu hari nanti dia boleh berkata pada anaknya yang bangunan2 itu dibina hasil dari tenaga dan tangan2 buruh sepertinya. Tatkala itu tiba-tiba dia tersayu, telah sebulan lebih dia tidak menjenguk anak isteri yang tinggal dirumah setinggannya dikota itu. Bukan dia tak mahu balik, tetapi jadual kerjanya kini begitu ketat atas gesaan syarikat untuk menyiapkan bangunan itu secepat mungkin. Khabarnya encik Ibrahim sendiri agak tertekan atas perkara itu. Kerinduan pada anak isteri diubati dengan kiriman surat dan wang serta janji2 ganjaran kemudian nanti.

Sedang Joned mengelamun, matanya tertangkap pada cahaya lampu dari dua buah kereta yang menghala masuk ketapak projek. ‘siapa pulak yang datang malam-malam buta ni!’ bisik hati Joned. Kereta itu kemudian berhenti didepan pejabat beberapa meter dari tempat Joned berdiri. Joned segera mengenali tuan punya kereta masing-masing. Mereka adalah encik Ibrahim dan rakankongsinya. Terdengar mereka keluar dari kereta dan bercakap2. Mula2 seperti berbincang tetapi kemudian menjadi tegang berbalah. Joned cepat2 menyorok dibelakang longgokan batu-bata sambil cuba mendengar butir2 perbalahan. Malangnya mereka berkelahi dalam bahasa orang putih. Tiba-tiba Joned mendengar sesuatu dan suasana spontan menjadi sunyi. Joned mengintai dan melihat salah seorang dari mereka telah rebah ketanah. Joned nekad ingin mengetahui apa yang terjadi lalu bergegas menghampiri dan terkejut apabila melihat encik Ibrahim tersembam ketanah hampir dikeretanya. Belakang kepalanya nampak berkilat oleh cecair likat. Joned ternganga dan memandang pula pada rakankongsi encik Ibrahim yang bernama Victor Chan. Mata tauke cina itu terbeliak memandang Joned yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Menggeletar diitangan Victor Chan terdapat sepucuk pistol.

Detik itulah yang mengubah seluruh hidup Joned. Victor Chan telah membeli jiwanya dengan tawaran yang amat lumayan. Suatu cara yang akan melepaskan beban kemiskinan yang digalasnya selama ini. Sejak itu Joned tidak pernah lagi menghadapi masalah kewangan. Hidupnya serta-merta menjadi mewah. Dia kemudian dinaikkan pangkat menjadi mandur, kemudian diangkat menjadi ketua penyelia projek dan akhirnya menjadi rakankongsi Victor Chan. Dimasa yang sama tersebar khabar angin yang encik Ibrahim telah menghilangkan diri kerana kononnya malu menanggung beban hutang. Tiada siapa yang tahu bagaimana dia dan Victor Chan kemudian telah menolak kereta tauke Melayu itu kedalam sungai beserta encik Ibrahim didalamnya!

Jam menunjukkan hampir pukul 4 petang. Tuan Joned harus ketapak projek barunya kerana wartawan itu mahu mengambil gambarnya berlatarkan projek yang sedang berjalan. Projek pembinaan sebuah bangunan komersial yang bernilai hampir RM60 juta yang terletak dikawasan utara bandar KL. Tuan Joned pun bersiap2 dengan kotnya dan seketika Julie pun masuk mengatakan waktu untuk bergerak. Julie akan bersamanya sepanjang temuramah berlangsung.

Tuan Joned dan Julie tiba ditapak projek setengah jam kemudian. Disudut tapak projek kelihatan seorang pemuda sedang menunggu. Sebuah kamera tergantung dilehernya. Wartawan muda itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Anuar dan beberapa minit kemudian dia pun mula mengambil gambar-gambar Tuan Joned disekitar kawasan tapak projek. Tuan Joned cukup suka dengan latar gambar yang dicadangkan oleh Anuar lebih-lebih lagi setelah Julie dengan senyum simpul mengatakan ‘ ada kelass..’.

Temuramah itu berjalan dengan baik dan lancar berselangkan petikan shot-shot kamera oleh wartawan muda tersebut. Tuan Joned menjawab segala pertanyaan dengan lancar berkenaan projek-projek syarikatnya sambil diperhatikan Julie yang sentiasa tersenyum bangga melihat Tuan Joned yang bakal menjadi suaminya ...sehinggalah wartawan muda itu tiba-tiba bertanyakan tentang kes encik Ibrahim yang dikatakan hilang dahulu. Tuan Joned tergamam. Disaat itu wartawan muda tersebut mula tersenyum sinis sambil matanya merenung tepat kebola mata Tuan Joned. Cepat-cepat Tuan Joned mengatakan yang dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh wartawan bernama Anuar itu. Namun perkataan seterusnya yang keluar dari mulut pemuda itu menggetarkan seluruh tubuh Tuan Joned. Pemuda itu dengan wajah serius menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada encik Ibrahim babak demi babak pada malam itu sambil matanya tajam menikam kewajah Tuan Joned. Ketika itu Tuan Joned mula terperasankan sesuatu yang membuatkan bibirnya kering pucat...wajah pemuda itu telah mengingatkannya pada seseorang! Dengan tergagap-gagap Tuan Joned bertanya bagaimana pemuda itu tahu tentang perkara itu dan adakah dia kenal encik Ibrahim...

‘ saya...anak dia!’, jawab pemuda itu dan menceritakan bagaimana bapanya berjaya keluar dari kereta yang tenggelam didalam sungai.

Julie tercengang dan menjadi marah mendengar kisah dari pemuda tersebut lantas bertanya siapakah yang cuba membunuh encik Ibrahim dahulu. Pemuda itu kemudian tunduk dan berkata perlahan ‘ ayah saya kenal.. tetapi dia telah memaafkan orang itu sebelum dia meninggal dunia...!’ jawab pemuda itu sambil merenung sinis kewajah Tuan Joned.

Selepas temuramah itu, Tuan Joned melangkah balik dengan perasaan lemah, dibahunya kini terpikul suatu beban yang maha berat yang akan ditanggungnya sampai mati.

Tamat.

Thursday, February 12, 2009

Kerja Bengkel - Pewarna Asli Indigo (part 2)

Proses pertama itu gagal...! Celupan dari air peraman indigo yang pertama itu hanya menghasilkan capuk-capukan kelabu tawar. Indigo itu rupanya telah basi dan mati samasekali. Ianya sungguh mengecewakan. Aku pasti ada beberapa elemen yang telah aku ‘terlupakan’ dalam proses ini. Mujurnya aku tidak mencantas kesemua pokok indigo untuk tujuan itu.

Maka..hari berikutnya aku mencantas lagi saki-baki beberapa batang dari pokok indigo. yang kurus2 saja yang tinggal. Daunnya agak kecil tumbuh diatas tanah yang tak berapa subur disekitar bengkel. Kali ini aku bekerja dengan cermat. Setiap langkah aku susulkan dengan rujukan yang ada terutama nota dari Shyamala Shiveshvarkar. Elemen masa sangat penting dalam proses ini. Aku tak boleh terlambat atau terlalu cepat dalam menjangka waktu pemeraman dan celupan. Sukatan air juga penting. pHnya harus tepat. Alkalinya harus selaras utk proses pencelupan nanti.

Seperti yang pernah aku lihat pakar dari Bangladesh ‘menjaga’ indigonya. Dari Warna dan bau dia sudah tahu samada masanya tepat atau tidak (aku belum sampai ke tahap itu..mungkin suatu hari nanti...). Malah mereka mempunyai adat dan pantang-larang dalam menghasilkan indigo. Dari waktu menuai indigo hinggalah adat pemeraman. Beras ditabur kedalam kolam peraman dengan mantera2 tertentu – ‘superstitions’ mengikut cara mereka. Apa pun aku pasti perkara2 yang berkaitan dengan beras dan beberapa benda lain ada kaitan dengan proses saintifik yang berinteraksi dengan organisma unik ini. Malah mengikut Aditi De penulis dari Bangalore itu - sains dan kepercayaan ‘superstition’ itulah yang membentuk propagasi mengenai Indigo menjadikan ianya ulung sebagai suatu warna. Malang sekali semasa diIndia dulu aku tak bertanyakan dengan sungguh2 tentang perkara itu pada Madam Sentila.

...rasanya sudah tiba waktu utk mencuba kali kedua. Buih2nya tak bergerak lagi. Baunya kini agak lembut. Warna airnya kuning kehijauan. Dengan lafaz Bismillah...kain dicelupkan. Direndam rata sepenuhnya. Dikacau2 perlahan. Kalau proses penghasilan ‘vat’, musuh utama adalah pengoksidaan. Udara yang masuk kedalam vat indigo akan melemah dan mematikannya (macam proses buat tapai sedikit-sebanyak). Kerna itu aku melihat vat indigo dalam tempayan sesetengahnya ditanam didalam tanah dengan permukaannya tak kurang dari beberapa inci saja dari tutup tempayan.

Setelah cukup masanya (mengikut rasa), kain diangkat perlahan2 sambil dilurut dari hujung kehujung kain. Titisnya harus dekat dengan permukaan air indigo...aku tak mahu ia ‘mati’ dengan cepat. Sekarang ‘magik’nya bermula – kain putih tadi kini berwarna agak kehijauan. Udara kini mula berinteraksi dengan kain celupan itu, dibuka lepas dan dikibar2kan (pengudaraan) beberapa minit. Aku mula tersenyum. Perlahan2 indigo menjelmakan diri diatas serata kain. Hue pada kain mula mengalami perubahan. Kehijauan tadi secara semulajadi perlahan-lahan bertukar menjadi biru...biru!! (tampak agak turquoise). Dalam basahnya...aku melihat warna kain itu begitu seksi sekali. Sangat merangsang mata dan menghiburkan. Setelah hampir 20 minit aku biarkan indigo menetap betul2 dipermukaan kain...bila sudah kering, hue birunya sedikit berubah dan barulah ianya dibasuh. Dapatlah sudah warna biru dari alam semulajadi. Dari daun indigo (indigofera tinctoria), Ada sejenis lagi daun indigo dipanggil pokok Tarum/Nila (Strobilantus Flacidifolia). Dengarnya banyak diSarawak.

Sekarang...celup dengan warna kunyit...sudah ada kombinasi warna - putih, hijau dan biru.

Sunday, February 8, 2009

JURNAL : Kerja Bengkel - Pewarna Asli Indigo

Semalam proses penapaian daun Indigo pertama kali dicubakan. Rendaman dari daun-daun Indigo selama lebih 15 hari didalam tangki hitam itu memerap dan membiak entah berapa banyak organisma didalamnya. Bertapuk-tapuk berencah dengan lendir kental dan apungan daki kasar bakteria yang menyubur dari serat daun dan batang. Sememangnya dikatakan daun Indigo itu ‘hidup’ dan bernafas didalam proses penapaian. Ianya boleh dilihat dari kepul-kepul buih yang bertolakan dari dasar. Bauannya menujah tajam. Orang yang tak biasa tentu loya dengan baunya. Patutlah Madam Sentila dari Nagaland dulu pernah berpesan – ‘ you better watch out the smell..its not going to be pleasant ’.

Aku bersedia dengan topeng dan sarung tangan getah tentunya. Dikain topeng ku titikkan sedikit wangian untuk menolak bau yang sungguh tajam itu. Rupanya tak lama..perlahan2 bau perapan Indigo menerobos mencuit hidung. Agak lemas juga...tapi daun2 itu harus dibuang. Kulihat jentik2 meriah mengelinjang dicelah-celah takungan seolah-olah panik melihat aku menjenguk kedunia tempat ia lahir.

Air peraman itu ku alirkan ke tong besar. Kekuningan warnanya (kuning adalah warna asas bagi kebanyakan tumbuhan). Daun2 dan batang Indigo ku buang. Tangki hitam itu ku basuh setelah segala air peraman itu tersimpan didalam tong. Kini proses mewarna boleh dimulakan. Aku tak mengharap sangat ia akan menjadi sebiru seperti yang Madam Sentila tunjukkan dulu. Ada beberapa rahsia tentang proses itu yang disimpannya dan itu aku faham. Eksperimen ini harus akan menjalani beberapa kegagalan sebelum benar2 menjadi. Teknik mendapatkan warna yang dikatakan raja segala warna ini sudah berusia ribuan tahun. Kerjanya tidak semudah seperti mendapatkan warna dari tumbuhan lain.

Kain putih sudah tersedia dengan reka-ikatnya...

~ bersambung...

Sunday, February 1, 2009

Suatu cerita...

Janji...apabila dua manusia mengucapkan ikatan itu keatas sesuatu perkara, maka ianya harus diperhatikan sebelum dilaksanakan tidak kira ianya salah atau benar...buruk atau baik kerana janji tetap janji. Namun janji kerap dimungkiri oleh manusia yang tidak memahami mahupun disengajakan dan terkadangnya diperlekehkan lantas dipermainkan oleh pihak ketiga!

Azlan baru saja hendak pulang bila telefon dimeja pejabatnya berdering.
‘hmmph..mesti Eddie ni, aku dah nak balik baru dia nak call..!’ rengus Azlan sambil mengangkat gagang telefon. Sangkaan Azlan benar.

“ hah Eddie!..kau janji nak confirm tengahari tadi...sekarang dah dekat pukul 5 tau tak! Kalau jadi cakap jadi..tak payah aku tunggu-tunggu” marah Azlan. Geram betul dia.

“ sori laa..aku tak sempat nak call kau tengahari tadi...ada meeting emergensi. Habis tu camana? Jadik tak?” ucap suara Eddie digagang telefon.

“ menyusahkan aku betul kau ni!..” balas Azlan nada bengang.

“ apasal pulak?”

“ bila kau tak call aku..aku ingat kau tak jadi pegi. Aku pun janji dengan Sal keluar malam ni..” jawab Azlan. Dia sudah serba-salah. Eddie adalah kawan baiknya manakala aweknya itu pula diperkenalkan oleh Eddie sendiri kepadanya.

“ ..hmm..kalau cam tu..tak apalah..” terdengar suara Eddie agak hampa membalas. Perkataan ‘tak apalah’ itu dilemahkan membuatkan Azlan semakin serba-salah.

Sememangnya dia telah berjanji mulut dengan Eddie untuk pergi kenduri arwah dirumah makcik Eddie diCheras, Cuma menunggu kata putus dari Eddie saja. Sebenarnya dia malas hendak menghadiri kenduri semacam itu malah Eddie sendiri begitu tetapi entah kenapa kali ini Eddie beriya-iya benar mengajaknya pergi. Kerana mengenangkan mereka sudah berkawan sejak kecil hinggalah mereka berkerjaya, Azlan susah hendak menolak pelawaan Eddie. Mungkin juga kerana Eddie sendiri jarang menolak pelawaannya untuk kemana-mana.

“ err..macam ni laa, kenduri tu lepas Isyak kan?..ok biar aku slow-talk dengan Sal dulu. Kau tunggu je aku kat rumah kau sampai aku datang..” balas Azlan menghilangkan kehampaan Eddie.

“ orait!..aku tunggu kau kat rumah. Kau jangan lewat pulak..kurang-kurang pukul enam kita mesti ada sana” kata Eddie menutup perbualan telefon dua sahabat karib itu.

Lewat petang itu Azlan datang kerumah bujang Eddie dengan motosikalnya. Kalau berjalan dengan Eddie sekitar KL, mereka lebih suka bermotosikal saja. Mudah bergerak begitu. Azlan cuak bila melihat kereta Eddie tiada didepan rumah. Begitupun dia terus saja naik kerumah sahabatnya, tetapi dari pintu besi yang berkunci dia melihat Eddie sedang terbaring berlenging diruang tamu dengan kipas berpusing laju. Hairan juga, kereta takde tapi orangnya ada. Tanpa mengejutkan sahabatnya itu, Azlan mencapai kunci yang terletak dibalik dinding tepi pintu. Hanya dia sahaja antara kawan-kawan Eddie yang tahu tempat gantung kunci pintu itu. Setelah membuka pintu, Azlan terus masuk. Eddie nampaknya lena benar terlentang. Petang itu agak panas membahang namun kerana depan rumah Eddie yang merimbun dengan pokok-pokok membuatkan suasana rumah itu agak redup sejuk memang sedap untuk tidur petang-petang hari apatah lagi selepas penat pulang bekerja.

Azlan kemudian duduk dikerusi dan terus membuka tv tanpa mengejutkan Eddie. Sengaja dia begitu entah kenapa. Azlan mencapai kotak rokok Eddie lalu merokok. Beberapa ketika kemudian Eddie terjaga membuka mata kuyu melihat Azlan. Dalam keadaan mamai Eddie membebelkan sesuatu lalu beralih tempat dan menyambung tidur. Azlan membiarkan saja. Mungkin ianya akan menjadi alasan yang baik jika mereka terlewat lalu membatalkan saja rancangan petang itu. Itulah fikiran yang disorokkan Azlan. Hampir 20minit kemudian Eddie terjaga terkebil-kebil memandang Azlan yang duduk senang dikerusi menonton tv.

“ ehh!..bila kau sampai?”.
“ tadi lagi..” jawab Azlan pendek tanpa mengalih pandangan dari peti tv.
Bungkam seketika.
“ aku laparlah..” kata Eddie kemudian.
“ kata nak gi kenduri...sampai sana kau lantak la. Tapi ini kira dah lewat ni..jadi ke tak pegi?”
“ aku teringin rojak mamak laa” kata Eddie sambil bangun lalu terus kebilik air. Beberapa minit kemudian dia kembali siap berbaju.
“ jom laa cari rojak kejab..” ajak Eddie sambil terus kepintu.
Azlan pun menutup tv dan ikut keluar dan mengunci pintu rumah. Kuncinya digantungkan semula ketempatnya.

Beberapa minit kemudian mereka bermotosikal dengan Eddie membonceng dibelakang menuju ke kedai mamak yang terletak tidak jauh dari rumah Eddie. Dikedai mamak, Eddie melantak rojaknya lahap. Azlan hairan berbaur cuak melihat Eddie begitu apatah lagi beberapa orang dikedai itu juga mula memandang-mandang kearah mereka. Minum petang itu mereka tak banyak bercakap-cakap seperti selalu. Setelah Eddie puas dengan rojaknya, dia mengajak Azlan pulang kerumah dulu.. ‘tukar baju’, katanya.

Menjelang senja mereka pulang sambil berbual sesuatu yang lucu hingga tiba didepan rumah. Sambil ketawa mereka naik kerumah sementara Eddie membuka pintu. Tawanya masih mengekeh. Ketika itu Azlan terdengar bunyi hon kereta didepan rumah lalu menoleh. Tiba-tiba bulu romanya meremang tatkala melihat Eddie tiba dengan keretanya! Tersengih Eddie keluar dari kereta seraya berkata – “ sorilaa aku terlambat sikit..lama dah sampai?”.

Azlan perlahan-lahan berpaling ke pintu rumah yang masih berkunci, dari dalam rumah dia masih mendengar suara tawa itu menggema.

Tamat.

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam