Friday, February 20, 2009

Suatu Cerita...

Tuan Joned sedang duduk senang dikerusi empuk sambil memandang keluar tingkap dibilik pejabatnya awal petang itu. Semua kakitangannya yang lain sudah balik kecuali setiausaha sulitnya bernama Julie yang juga merangkap calon isteri ketiganya. Tuan Joned sebenarnya sedang menunggu waktu untuk ditemuramah oleh seorang wartawan yang akan memaparkan kisah hidupnya didalam sebuah majalah tempatan...sesuatu yang sangat ditunggu-tunggunya sepanjang kariernya sebagai seorang ahli perniagaan atau lebih tepat lagi seorang kontraktor pembinaan yang kaya-raya. Mungkin selepas ini dia akan mendapat gelaran Datuk yang tentunya akan melonjakkan namanya dikalangan rakan2 dan orang kampung.

Sememangnya rezeki Tuan Joned cukup melimpah sejak dia mencebur diri dalam dunia perniagaan pembinaan. Tuan Joned tidak pernah menyangka akan menjadi begitu kaya. Sepuluh tahun dahulu, dia hanya seorang buruh kasar yang terpaksa bekerja dibawah terik matahari. Bergelumang dengan debu dan habuk. Terpikul dibahunya bukan saja kerja-kerja berat malah juga beban kemiskinan. Kadangnya dipandang rendah oleh segolongan manusia lain yang nasib mereka lebih baik. Hanya Tuhan yang tahu betapa dendam peritnya bekerja dibawah orang. Ada masa ditipu tauke dan kerap pula terasa bagai pengemis tatkala menuntut upah kerja.

Dia teringat bagaimana dirinya terasa begitu kecil dan kerdil bila berdepan dengan tauke-tauke yang muncul dengan pakaian kemas dan kereta besar melihat tapak-tapak projek mereka. Kadangnya tauke-tauke itu hampir tidak memandang langsung kepada orang sepertinya, umpama buruh2 itu hanya sekelompok manusia yang tiada nilai, hina dan buruk. Kadangnya timbul dendam pada tauke-tauke yang sebegitu. Tapi apa yang boleh dilakukan, dia sekadar manusia kerdil yang mengharap pekerjaan dari golongan manusia yang bergelar tauke demi untuk mengisi kantung perut diri dan keluarganya. Hidupnya dirasakan penuh dengan beban...beban kemiskinan dan maruah yang tercalar.

Ada masanya dia berangan-angan menjadi seorang tauke yang kerjanya hanya berbual dalam telefon dan menandatangani surat-surat kontrak dibilik pejabat berhawa dingin. Ada masanya dia terbayang-bayang bermain golf sambil berbual tentang projek2 seperti yang selalu dia dengar dari perbualan tauke-taukenya. Namun anganan itu luput bila mengenangkan tahap kelayakannya. Masakan dia dapat menjadi orang besar2 sedangkan dia hanya bersekolah hingga ke darjah enam sahaja. Selepas itu dia diminta berhenti dan menolong bapanya menoreh. Hanya setelah bapanya meninggal dunia, barulah dia dapat melepaskan diri ke kota besar mencari pekerjaan lain. Macam2 kerja pernah dilakukannya. Mula2 dia menjadi pelayan restoran, kemudian mendapat tawaran sebagai security guard tetapi tidak lama kerana kemudian rakannya ditembak penjenayah yang cuba memecah masuk bangunan. Setelah itu dia menjadi seorang tukang kebun sekolah dan disitulah dia didedahkan kepada kerja2 pembinaan apabila sekolah itu diperbesarkan. Akhirnya dia mengikut seorang rakan menjadi buruh binaan hinggalah dia berkahwin dan beranak-pinak. Beban hidup mula menunggang kebahu. Dia tidak tahu apakah cara dia dapat mengubah nasib dirinya untuk menjadi orang senang seperti tauke-taukenya...hinggalah pada suatu hari itu!

Ketika itu dia dan rakan2 buruhnya sedang bekerja untuk seorang tauke kontraktor melayu bernama Ibrahim. Mereka sedang menyiapkan projek sebuah bangunan pejabat tujuh tingkat dibandar selatan. Khabarnya tauke melayu itu mempunyai seorang rakan kongsi berbangsa cina. Encik Ibrahim agak muda orangnya dan mempunyai sifat yang baik, jujur dan teliti dalam kerjanya. Hal kebajikan pekerja tidak pernah diabaikan. Boleh dikatakan antara ramai-ramai tauke, encik Ibrahim adalah antara yang terbaik yang pernah menjadi taukenya. Tapi sememangnya lumrah dunia, insan yang baik dan jujur jarang bertahan lama dalam perniagaan...mungkin dalam dunia itu sendiri!

Malam itu Joned tidak dapat tidur. Rumah kongsi yang didiaminya bersama rakan2 lain sejak projek pembinaan itu bermula terasa panas semacam. Hatinya juga agak rindu pada orang rumah dan anak2 yang ditinggalkan demi kerjanya. Beberapa ketika kemudian, Joned keluar untuk menghirup udara malam meninggalkan rakan2 lain yang nyenyak tidur dek kepenatan. Dia berjalan kearah tapak bangunan yang tidak jauh dari rumah kongsi. Terdengar suara lolongan anjing bersahutan sayup. Tersergam beberapa meter didepannya berbalam-balam kelihatan kerangka bangunan separuh siap itu menangkap pandangan. Memang Joned akan merasa bangga bila melihat bangunan-bangunan yang dibinanya, mungkin bukan ‘yang dibina olehnya’ tetapi dia terlibat secara langsung dalam pembinaan bangunan tersebut. Mungkin satu hari nanti dia boleh berkata pada anaknya yang bangunan2 itu dibina hasil dari tenaga dan tangan2 buruh sepertinya. Tatkala itu tiba-tiba dia tersayu, telah sebulan lebih dia tidak menjenguk anak isteri yang tinggal dirumah setinggannya dikota itu. Bukan dia tak mahu balik, tetapi jadual kerjanya kini begitu ketat atas gesaan syarikat untuk menyiapkan bangunan itu secepat mungkin. Khabarnya encik Ibrahim sendiri agak tertekan atas perkara itu. Kerinduan pada anak isteri diubati dengan kiriman surat dan wang serta janji2 ganjaran kemudian nanti.

Sedang Joned mengelamun, matanya tertangkap pada cahaya lampu dari dua buah kereta yang menghala masuk ketapak projek. ‘siapa pulak yang datang malam-malam buta ni!’ bisik hati Joned. Kereta itu kemudian berhenti didepan pejabat beberapa meter dari tempat Joned berdiri. Joned segera mengenali tuan punya kereta masing-masing. Mereka adalah encik Ibrahim dan rakankongsinya. Terdengar mereka keluar dari kereta dan bercakap2. Mula2 seperti berbincang tetapi kemudian menjadi tegang berbalah. Joned cepat2 menyorok dibelakang longgokan batu-bata sambil cuba mendengar butir2 perbalahan. Malangnya mereka berkelahi dalam bahasa orang putih. Tiba-tiba Joned mendengar sesuatu dan suasana spontan menjadi sunyi. Joned mengintai dan melihat salah seorang dari mereka telah rebah ketanah. Joned nekad ingin mengetahui apa yang terjadi lalu bergegas menghampiri dan terkejut apabila melihat encik Ibrahim tersembam ketanah hampir dikeretanya. Belakang kepalanya nampak berkilat oleh cecair likat. Joned ternganga dan memandang pula pada rakankongsi encik Ibrahim yang bernama Victor Chan. Mata tauke cina itu terbeliak memandang Joned yang tiba-tiba muncul entah dari mana. Menggeletar diitangan Victor Chan terdapat sepucuk pistol.

Detik itulah yang mengubah seluruh hidup Joned. Victor Chan telah membeli jiwanya dengan tawaran yang amat lumayan. Suatu cara yang akan melepaskan beban kemiskinan yang digalasnya selama ini. Sejak itu Joned tidak pernah lagi menghadapi masalah kewangan. Hidupnya serta-merta menjadi mewah. Dia kemudian dinaikkan pangkat menjadi mandur, kemudian diangkat menjadi ketua penyelia projek dan akhirnya menjadi rakankongsi Victor Chan. Dimasa yang sama tersebar khabar angin yang encik Ibrahim telah menghilangkan diri kerana kononnya malu menanggung beban hutang. Tiada siapa yang tahu bagaimana dia dan Victor Chan kemudian telah menolak kereta tauke Melayu itu kedalam sungai beserta encik Ibrahim didalamnya!

Jam menunjukkan hampir pukul 4 petang. Tuan Joned harus ketapak projek barunya kerana wartawan itu mahu mengambil gambarnya berlatarkan projek yang sedang berjalan. Projek pembinaan sebuah bangunan komersial yang bernilai hampir RM60 juta yang terletak dikawasan utara bandar KL. Tuan Joned pun bersiap2 dengan kotnya dan seketika Julie pun masuk mengatakan waktu untuk bergerak. Julie akan bersamanya sepanjang temuramah berlangsung.

Tuan Joned dan Julie tiba ditapak projek setengah jam kemudian. Disudut tapak projek kelihatan seorang pemuda sedang menunggu. Sebuah kamera tergantung dilehernya. Wartawan muda itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Anuar dan beberapa minit kemudian dia pun mula mengambil gambar-gambar Tuan Joned disekitar kawasan tapak projek. Tuan Joned cukup suka dengan latar gambar yang dicadangkan oleh Anuar lebih-lebih lagi setelah Julie dengan senyum simpul mengatakan ‘ ada kelass..’.

Temuramah itu berjalan dengan baik dan lancar berselangkan petikan shot-shot kamera oleh wartawan muda tersebut. Tuan Joned menjawab segala pertanyaan dengan lancar berkenaan projek-projek syarikatnya sambil diperhatikan Julie yang sentiasa tersenyum bangga melihat Tuan Joned yang bakal menjadi suaminya ...sehinggalah wartawan muda itu tiba-tiba bertanyakan tentang kes encik Ibrahim yang dikatakan hilang dahulu. Tuan Joned tergamam. Disaat itu wartawan muda tersebut mula tersenyum sinis sambil matanya merenung tepat kebola mata Tuan Joned. Cepat-cepat Tuan Joned mengatakan yang dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh wartawan bernama Anuar itu. Namun perkataan seterusnya yang keluar dari mulut pemuda itu menggetarkan seluruh tubuh Tuan Joned. Pemuda itu dengan wajah serius menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada encik Ibrahim babak demi babak pada malam itu sambil matanya tajam menikam kewajah Tuan Joned. Ketika itu Tuan Joned mula terperasankan sesuatu yang membuatkan bibirnya kering pucat...wajah pemuda itu telah mengingatkannya pada seseorang! Dengan tergagap-gagap Tuan Joned bertanya bagaimana pemuda itu tahu tentang perkara itu dan adakah dia kenal encik Ibrahim...

‘ saya...anak dia!’, jawab pemuda itu dan menceritakan bagaimana bapanya berjaya keluar dari kereta yang tenggelam didalam sungai.

Julie tercengang dan menjadi marah mendengar kisah dari pemuda tersebut lantas bertanya siapakah yang cuba membunuh encik Ibrahim dahulu. Pemuda itu kemudian tunduk dan berkata perlahan ‘ ayah saya kenal.. tetapi dia telah memaafkan orang itu sebelum dia meninggal dunia...!’ jawab pemuda itu sambil merenung sinis kewajah Tuan Joned.

Selepas temuramah itu, Tuan Joned melangkah balik dengan perasaan lemah, dibahunya kini terpikul suatu beban yang maha berat yang akan ditanggungnya sampai mati.

Tamat.

9 comments:

Sulela said...

Mata orang yang telah dibutakan dengan harta turut membutakan mata hati. Kesian kat Tuan Ibrahim yang baik hati...

StellaSakuragi said...

terima kasih, zehann.

Sayanghasni @ Yus said...

ingatkan cerita hantu lagi...
kerana wang manusia boleh jadi sesiapa saje...
insaf-insaf....

Zehann ur Rakhie said...

sama-sama stella

StellaSakuragi said...

Zehann, datang x masa book fair nanti?

StellaSakuragi said...

Zehann, awak ada tak masa KL book fair nanti?

Zehann ur Rakhie said...

Stella - InsyaAllah, saya harap saya dapat hadir.

jika perlu apa2 boleh email saya - alrakhie@gmail.com.

sori saya agak 'slow' menjenguk blog saya kebelakangan ni.

ano_teja said...

assalamualaikum...
sy baru shj menghabiskan sequel ke2 Rahsia Agenda Alam Hitam anda kurang 60 minit yg lps.. manakala siri pertama kurang seminggu yg lepas... anda telah membawa sy ke sebuah pengembaraan fantasi yg sy rasakan begitu 'real'.. tahniah! dan to be frank.. sy hanya mengenali anda ketika sy membeli sequel 1 RAAH-kelahiran mufrad... sy hanya mengetahui ianya ada smbungan slps mengunjungi book fair jumaat lepas... apa yg boleh sy katakan... sy sudah jatuh cinta dgn karya anda itu.. hehehe.. chaiyo!chaiyo!

Zehann ur Rakhie said...

2 Ano Teja...TQ..TQ.

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam