Wednesday, September 8, 2010



Salam kepada yang mengenali, rakan2 pembaca, penulis dan sekalian umat Muhammad S.A.W. Terimakasih atas sokongan kalian dan sekali lagi diucapkan Salam Eid ul Fitri Maaf Zahir Batin.
Semoga dilindungi, diberkati dan diRahmatiNya dunia wal akhirat.

Monday, July 12, 2010

Puisi Kelahiran Mufrad.



Rahsia kelahiran mufrad ( penguasaan sezaman)

Sebuah kehidupan yang damai
Tenang rakyat menerima ajaran suci
Suara-suara takbir bergema sayu
Tak pernah jemu
menyeru ke arah kebaikan

Dalam damai sebuah desa
Lubuk gua penuh erti hidup
Ada manusia bersiung sedang diburu
Lantas terlihat oleh anak matanya
Bayangan siang yang akan digelapkan



Suara-suara takbir bergema sayu
Ada raja yang jatuh di pendupaan
Dengan marmar hitam segelap jantungnya
Yang mengepam darah hitam
Ke sesalur tubuhnya yang perkasa

Dalam kedamaian lubuk gua
Ada kezaliman halus menusuk
Pembunuhan dan kekejaman ngeri terlukis
Dalam sebuah kitab misteri
Kitab hitam yang tak pernah terfikir



Dek kerana ingin belajar
Pengembaraan diteruskan
Kekejaman ditinggalkan
Amanat diturunkan sekurnia harapan
Demi bertemu sahabat yang dirindui

Belajar ilmu tergambar kesaktian
Anugerah asli yang maha esa
Terpesona kerana keindahan akhlak
Dituruti jua langkah ke Timur
Pengalaman ditimba

Sesampai di permai desa jauh di pinggiran
Penghujung tanah melayu
Sebelahan Laut Cina Selatan
Rindu terungkai bertemu sahabat
Kitab hitam diserahkan secara ghaib, persoalan;



Gambaran demi gambaran dari helaian
Tulisan demi tulisan penuh bermakna
Di sebalik mengarang sebuah kitab peristiwa
Mencari suatu kebenaran
Menggantikan kembali cerita yang tergantung

Bertahun bencana penuh kezaliman
Yang indah semuanya pergi
Yang suci dikata api
Yang baik dimusuhi
Yang sihat terlantar perit



Lantas lubuk gua yang permai diserang jadi-jadian
Perlakuan jijik anjing dan manusia
Gara-gara ditipu dengan ketampanan
Pancaran indah mata seorang lelaki
Yang penuh kekejian dan kejahatan

Berkuasalah Mas Gurana di pelosok Tenggara
Jadi-jadian harimau berbelang hitam
Berhasrat menyambung baka penuh kejelikan
Menculik sari yang jelita
Dikurung penuh istimewa di Gua Lubuk Batu

Tangisan demi tangisan anak gadis
Melihat kekejaman seorang raja
Memusnahkan ahli keluarga tersayang
Teman-teman penghibur hati
Penduduk kampung yang dihormati

Tersebut pula kisah pengembara
Mengembara sambil belajar
Menulis isi kitab hitam
Penuh khusyuk bersama pengikut yang setia
Bertemu sahabat yang berani lagi perkasa

Maka kehairanan menerjah fikiran
Melihat kampung damai menjadi neraka
Tumpah darah berbelas sehari
Tampuk Akar yang menjadi persoalan
Penuh teka-teki misteri



Baka sari dilahirkan
Penuh suci dirai tangisan seorang ibu
Dari kekejaman seorang ayah haram
Mas Gurana penghulu syaitan
Iblis Qarun dajal setia

Lantas Juan Kilaninta mencetuskan pembunuhan
Hingga tamatlah riwayat bapanya
Mas Gurana di depan Gua Lubuk Batu
Terkorban bersama pembela bangsa
Taha Jati penuh keberanian akhirnya pergi jua

Berkurun berabad berlalu dihalusi Juan Kilaninta
Dari Sulaiman Syah bertukar kepada Massurya
Hilang segala tangisan berganti kesabaran
Tempias api Mas Gurana
Terkadang terjadi jadian harimau penuh berkuasa

Dan dia mengembara ke seluruh asia
Merentas laut ke seluruh dunia
Mengungkap rahsia alam hitam
Dari sebuah kitab amanat Tuan Syeikh yang penuh berjasa
Adakalanya bertentang mata dengan saudara kandung sendiri

Di sebalik mata hitam yang bundar penuh
Wajah yang tampan warisan ayah bonda
Kulit putih pucat yang hangat
Terdapat kuasa mistik tiwikrama yang harus dikawal
Massurya berguru lagi



Saat akhiran penghujung kekacauan
Helaian kitab hitam bertulisan kuno merah ditemui
Jauh dari jejak Tanah Melayu
Di saat Siam dan Belanda membuak menebar sayap
Dia cuba mencari sebuah penyelesaian

Antara dua pohon mati bagai nesan
Dia temui kesudahannya
Tangga ke bawah menuju singgah sana
Tempat pendupaan mufrad dengan marmar hitam dan zamrud
Tempat ayahandanya berdiri megah

Dari kurun berganti zaman
Ada manusia yang kekal tersenyum
Mengatur langkah penguasaan sezaman
Tetapi begitu halus hingga kezaliman sebenar dikagumi
Juan Kilaninta yang tetap muda dengan dosa

Di satu sudut pula
Ada yang masih setia menulis isi kandungan kitab
Tersusun bersama sebuah kitab hitam tebal
Yang telah tamat menceritakan sebuah kejadian
Dari kenyataan kepada sejarah dan mitos manusia yang masih leka

Sekian,

Shiffanurbella 06


Masa mengemas kamar yang lama usang, terjumpa pula lakaran2 yang ku buat semasa menulis RAAH dulu. Padan pula rasanya dengan puisi ini.

- Terimakasih dan penghargaan pada Shiffanurbella yang mengirim puisi ini.

Tuesday, March 16, 2010

S T R 6 : Misteri jam 2 pagi diEbino.

Beberapa hari terakhir berada disekitar daerah2 Nagoya. Aku pernah mengadakan persembahan batik dipentas Little World – sebuah taman muzium manusia yang terletak dikawasan bukit-bukau utara Nagoya.




Kesempatan merayau kesekitar taman muzium manusia yang seluas kira2 300 ekar ini sangat mengkagumkan. Terhimpun didalamnya 32 jenis rumah2 tradisional pelbagai negara dari rantau Asia Tenggara, Eropah hinggalah Afrika membolehkan kita menjenguk kehidupan lampau bangsa2 dunia. Aku hanya sempat meninjau rumah tradisi lama Korea dan pondok dangau masyarakat Afrika (lokasi diantara rumah2 itu agak jauh).
















Meskipun rumah2 tradisional ini dibina diatas sifat antropologi, namun keterperincian senibina dan susun atur ragam huni sangat menyala seolah2 kita benar2 berada dizamannya…malah deria berupaya menghayat denyut-nafas kehidupan manusia itu. Lanskap dan foliage sekitar melimpahkan rasa kemurniaan alam klasik. Little World telah menghadiahkan semua ini dengan baik sekali. Aku segera dapat menyatu keperasaan alam lama langsung membuahkan ilham2 untuk tulisanku.










Iwakura – Aichi, perkampungan Ryokan indah permai, aku tak dapat mencari selain dari kata2 klise itu. Jauh dari kesesakan walau teradun kemodenan. Betapa aku melihat mereka (komuniti setempat) sangat memelihara alam sekitarnya.













Satu perkara yang begitu menjentik fikiran ialah bila aku melihat orang2 Jepun sangat menggunakan segenap ruang inci tanah rumah2 mereka. Petak2 padi, kebun sayur2an, pokok2 buah atau sekadar dekorasi ruang taman…menghampar hingga kekaki lima jalan. Aku tak mahu membuat sebarang perbandingan..lebih baik segala yang kulihat itu ditinta dalam diri buat pengajaran dan mudah-mudahan dapat dipraktik ditempatku.










Jalur sungai itu mengalir perlahan..dibawah rendang merah daunan momiji yang meranggas jatuh ketebing batuan dan rumput hijau. Jatuh kesungai lantas terapung dialiran tenang. Airnya jernih sejuk. Jalur sungai itu seakan sama formasinya dengan sebatang sungai dikampung Sg Jan – Jerantut. Cuma sungai diSg Jan itu bukan lagi sungai…hanya longkang kotor terhempap sampah sarap masyarakat sekitar. Aku berkata lagi pada diri sendiri..’jangan buat perbandingan…letih nanti’.

Aku turun kesungai itu, hendak merasa sejuk airnya…tapi tak jadi…kerana ku lihat ada banyak ikan Kap berenang2 diair cetek. Besar2 sekilo dua. Tidak pula ikan2 itu lari. Aku pun duduk saja ditebing.....lama.




Seto – Aichi. Petang itu aku dan Wan diundang oleh keluarga Akinori kerumahnya..bermalam disana. Reiko menjemput dengan tiga anaknya, Hikari, Yuri dan baby Shuri. Mendukung Shuri..aku tersebak..teringatkan Zafarul yang sebaya dengannya. Rindu sang bapa.

Rumah keluarga Akinori terletak dibukit bandar Seto. Sebelum kerumahnya, Reiko membawa kami singgah ke bengkel purba seramik yang masih kekal terletak diceruk bukit perkampungan yang sangat lengang bening. Seto memang terkenal dengan pembuatan Seramiknya. Tapi kami tiba sangat lewat..sudah jam 7. Tak seorang pun ada disana dan hari sudah gelap benar. Bagaimanapun Reiko membawa kami masuk kebengkel purba itu, melihat apa yang boleh.

Makan malam bersama keluarga Akinori sangat meriah digirang dengan keletah 4 orang anak2 mereka (Hakari, Hikari, Yuri dan Syuri) ditemani pula Miharu, sahabat keluarga itu dan Sesuko, ibu si Reiko. Koda san, suami Reiko bekerja diDewan Bandaran Seto sangat ramah dengan bicaranya. Koda dan Reiko agak fasih berbahasa Melayu kerana selama 6 tahun berulang-alik Jepun-Malaysia dalam percutian mereka. Mereka bercerita tentang pengalaman diMalaysia.

Sebagai menghargai keramahan keluarga itu, aku menghadiahkan novel yang ku bawa yang asal tujuannya untuk ditinggalkan di Kelab Cinta Malaysia di Kyushu (tapi terlupa). Mereka sangat terkejut dan kagum mengetahui yang aku juga menulis novel. Sebagai balasan, mereka menghadiahkan pula set seramik Teh yang sangat aku hargai.




Awal pagi itu aku dan Wan mengambil peluang meninjau kesekitar perumahan dan Reiko san menunjuk arah kesebuah bukit tidak jauh dari rumahnya dimana terdapat taman peringatan pengasas Seramik Seto. Mentari pagi menyerlahkan warna musim luruh taman hening nan indah itu.




Tugu Kamakichi Kato, pengasas atau Adiguru teknik Seramik Seto sewaktu Era Edo. Puak Owari di Seto mendukung seni dan teknik yang dibawanya dan mekar subur hingga kehari ini.







Suatu pengalaman aneh dalam perjalanan ke Hotel Nankai – Nagoya. Jam 2 pagi itu kami berhenti rehat diEbino (R&R). Setelah makan-minum, aku keluar merokok sendirian dikaki lima ruang merokok yang tersedia. Membuang penat dan sengaja mencari tempat yang agak jauh dari orang ramai (ramai yang singgah disitu dalam perjalanan masing2 tika itu).

Dalam aku melayan perasaan…muncul tiga orang wanita Jepun yang agak berumur (50an) untuk merokok sama disitu. Mereka berbual sesama mereka. Tidak aku endahkan. Seketika seorang dari mereka menghampiri aku dan langsung berbicara laju dengan senyum ramah. Aku cuba menerangkan yang aku dari Malaysia dan tidak faham kata2nya, dia nampaknya faham tapi terus juga berkata2 menceritakan entah apa…sambil sesekali menarik asap rokoknya. Geram…aku pun bantai bahasa Minang ..’mang nga wa ang…ka ma..?’, kini dua orang rakannya tadi mendekat dan bertalu bertanya entah apa lagi. Begitu bersemangat sekali mereka. Apa pula kisahnya makcik2 Jepun ni?!

Ternampak Hafiz yang tahu berbahasa Jepun, lalu ku panggil. Mereka pun berbicara seketika. Hafiz kemudian menerangkan yang makcik2 ini dalam perjalanan pulang kerumah mereka…itu saja! Sejurus Hafiz beredar, dua rakan makcik tadi pun masuk kembali kedalam bangunan Ebino. Sekarang tinggal aku dan makcik yang mula2 menyapa aku tadi…dan dia menyambung bicaranya, gayanya bagai mengenang sesuatu..dan dia terus saja berbicara sambil memandang tepat kewajahku…hampir 15 minit dia bercakap! Aku bagai tempat dia melepas perasaan yang entah apa.

Seketika..dua rakannya tadi keluar bersama seorang lelaki mendukung anak kecil dan wanita (yang kukira isteri lelaki itu). Makcik itu pun menunjukkan pada mereka sambil berkata lagi (mungkin itu keluarganya). Mereka sedang menuju kepetak letak kereta. Makcik itu kemudian menepuk2 bahu ku sambil mengucapkan suatu perkataan berkali2 dan kiranya aku tidak canggung mungkin dia mahu memeluk aku!..sebelum dia beredar. Aku memandang makcik itu pergi dengan rasa hairan. Makcik itu masuk kekereta mereka dan berlalu. Aku kembali tenang duduk terkebil2 sendirian. Tapi kemudian kereta itu berpatah balik dan berhenti didepanku… makcik itu keluar dengan sebuah kotak lantas diberikan pada ku..sekotak biskut yang belum berbuka. Dia tersenyum mesra memandang aku kali akhir sebelum masuk kedalam kereta dan beredar.

Selepas kejadian itu, aku tanyakan pada Sakae san maksud perkataan yang berulang-kali diucapkan oleh makcik Jepun itu. Anehnya Sakae san tidak tahu perkataan itu (aku dah lupa apa ayatnya).

Monday, February 22, 2010

S T R 5 : Samurai Kyoto hijrah ke Tokyo?



Pagi itu bangun agak lewat dek serangan selsema malam tadi. Segar pagi pinggir kampung itu sedikit sebanyak mendorong kuasa deria yang ada untuk meninjau suasana kampung daerah Kyoto itu. Aku tak dapat nak pergi jauh kerna jadual agak ketat. Tapi aku berharap dapat menemukan sesuatu...umpamanya waris2 penghuni Kyoto dalam bentuk tradisi mereka.

Kyoto adalah Ibukota purba Jepun selama lebih seribu tahun sangat terkenal dengan budaya pemerintahan rejim Shogun dibina oleh maharaja Kwammu. Dahulunya dikenali sebagai Heian-kyo yang bermaksud Ibukota Keamanan. Era pemerintahan Meiji kemudian mengubah Ibukota ke Timur – Tokyo. Namun aku diberitahu bahawa Kyoto masih dirujuk sebagai Saikyo – Ibukota Barat.




Aku merayau seboleh mungkin disekitar dalam kekangan waktu. Terbayang dikepala akan susuk2 ber-yukata atau kimono, samurai dengan katananya dan para geisha dengan kipasnya menyusur denai kampung tepi sungai atau jalanan pinggir kota.... tapi yang nampak hanya rang Jepun dengan basikal tua.




Begitupun, peninggalan itu masih boleh dilihat dari seni bentuk rumah2, persekitaran (topografi) dan suasana itu lebih segar bernafas dan bergema dipekan Kraf yang terkenal diKyoto (flea market aka Kobo-san).

Terletak disekitar bukit Kuil Toji (kenangan untuk seorang Buddhist Kobo Daishi kurun ke8), kedai2 kraf berpecah dan berentetan sepanjang jalanan hingga ke kaki bukit. Anyaman sutera Nishijin, seni pewarnaan kain Shibori dan Yuzen, seramik Kiyomizuyaki yang halus seninya diperturunkan dari generasi ke generasi sejak beratus tahun, anak2 patung Kyoto dan demo beratus macam seni kraf yang tak kedapatan ditempat lain diJepun. ( sesiapa yang ada jalan sampai ke sini.. sediakanlah sekurang2nya ¥5000 - 10,000 untuk melampias kegilaan membeli souvinir!).

Aku membeli sebilah imitasi Katana dengan harga tawar ¥6000. Sangat besar rasanya beroleh pedang Samurai biarpun imitasi (penangan film Seven Samurai – arahan Akira Kurosawa dengan lakonan hebat Toshiro Mifune dan kebijaksanaan Kambei oleh Takashi Shimura adalah antara penyemarak aku menulis RAAH…)






Perjalanan dari Kyoto ke Tokyo sangat menjemukan bila berjalan waktu malam. Namun lanskap diperhentian Gunung Fuji pagi itu menyalakan seribu rasa.




Metropolis – Tokyo (To- timur, kyo –ibukota)…aku sudah penat. Hendak kemana diBandaraya yang gah ni..? Kembar si London dan New York. Dahulunya sebuah perkampungan nelayan dipanggil Edo (muara). Selepas era Tokugawa, kota ini makmur menjadi bandaraya terbesar Jepun.





Haji Shahariman ( orang lama yang selalu berulang-alik kesini sejak 30 tahun lalu..!) memberi sedikit maklumat tentang apa dan dimana. Hendak merewang jalanan muda-mudi kota diShibuya atau kota fesyen di Harajuku, merasai hawa Tokyo lama di Asakusa, shopping barang2 eletronik canggih terkini diAkihabara atau Ginza atau Ameyoko…




Tapi tadi aku ternampak sesuatu yang agak ganjil..bayang masa lampau berdiri dikaki lima. Aku sempat rakam gambarnya tapi aku mahu rakam dengan lebih jelas. Apabila bas berhenti, aku terus keluar dan menyusur semula jalanan tadi..mencari dia. Dijalanan, aku melihat gadis2 promoter animae yang agak hairan melihat aku tapi malu2 pula bila aku merakam gambar mereka (aku diberitahu kemudian yang rupa2nya penampilan mereka punya hak-cipta dan tidak boleh diambil gambar sebarangan!).




Disudut lain aku terserempak dengan seorang gelandangan tua yang nampaknya sedang tidur berdiri! Sepanjang aku diJepun, baru inilah aku melihat sesuatu seperti itu. Aku rakam dan berjalan lagi mencari dia, lebih setengah jam kemudian masih tak berjumpa dan kembali kejalan tadi. Gelandangan tua itu rupanya masih begitu saja..kuat betul tulangnya! Sambil berjalan, aku agak hairan mengapa mereka memandang2 kearahku?







Gambar inilah yang sempat aku rakam dari atas bas. Alangkah beruntungnya jika aku dapat bertemu dengan ‘tok guru samurai’ itu…he he.


Friday, February 5, 2010

S T R 4 : Bidadari Animae diMalam Kota Osaka

Lepas Maghrib, aku dan Wan (teman sebilik yang juga seorang koordinator Homestay Ujung Bukit – Perlis) keluar hotel untuk berjalan kekota Osaka – Honshu, metropolitan ke2 terbesar Jepun dengan penduduk hampir 20 juta. Hajat hendak mencari kedai ¥100 (macam kedai barang RM2) manakala aku mahu mencari kedai buku/komik dan peluang untuk meninjau wajah malam kota Osaka tentu tak akan dilepaskan. Aku pernah sampai ke kota ini bersama dua rakan artis tahun 2007 dahulu masih ingat jalan kekota. Dan aku juga masih ingat dalam perjalanan pulang kami tersesat.






Hampir sejam kemudian kami tiba dikaki kota. Oleh kerna kami sedar yang kami berada dikota asing, maka permandangan dan gamitan silau lampu2 iklan jalanan dan lorong2 mengashikkan walau ia bukan perkara aneh. Tambahan pula hawa yang sejuk membuang rasa penat. Mata melilau juga mengintai kedai ¥100 dalam keramaian tengah kota. Bagai automatik pula lorong kota membawa kami ke mulut Tenjinbashi-suji, pasar jalanan yang terpanjang diJepun (entah berapa kali ganda panjangnya dari Petaling Street dan bersimpang-siur pula). Beza ragam dan irama pasar moden ini dari Petaling Street ialah disini promoter2 dari pemuda dan gadis2 berwajah manis bertalu mengucapkan ‘irasyai mase’ (selamat datang) didepan kedai mereka dan tidak pula ‘memaksa’. (Irasyai mase adalah ucapan automatik dan wajib bagi setiap pekerja kedai pada pengunjung dimana2 pun diJepun – bagai robot).



Terasa lapar pula. Tapi tak satu kedai makan pun dapat menarik kami masuk walaupun paparan iklan makanannya nampak begitu menyelerakan. Mana nak cari makanan yang halal? Aku putuskan untuk mencari kedai serbaneka (convenient store) seperti Lawson, Family Mart atau 7-11. Mudah begitu. Cari sandwich telur atau Konigiri – sejenis nasi kepal berintikan tuna atau Ebi (udang), pastikan tiada bahan ‘puta’ (pork) didalamnya. Aku pernah bertanyakan roti2 yang tiada bahan ‘puta’ dan petugas kedai pasti akan menunjukkan jenis2 roti yang bebas puta (beritahu kita orang Muslim dan mereka akan faham). Baca Bismillah dan makanlah. Hendak mencari restoran halal seperti restoran mamak Muslim memang sukar dan mahal pula. Tapi orang Jepun kurang selera dengan makanan berempah atau pedas, jadi kari mereka sedikit tawar (aku pernah merasanya dulu diFukuoka).

Kedai Serbaneka ini mudah didapati. Tidak jauh selepas keluar dari lorong Tenjinbashi, sudah nampak. Aku beli dua ketul konigiri, dua paket nasi yang dijual dengan harga ¥105-120 sepaket. Setin sardin dan telur untuk makan lewat malam nanti, si Wan juga. Sebenarnya soal makan diJepun ini tidaklah susah. Cuma tukar sikit selera dari pedas ke tawar dan masam2, atau pandai2lah masak sendiri. Paket2 nasi pasti ada disetiap kedai (convenient store). Nasi siap masak ini sangat mengenyangkan kerna kualiti berasnya. Hanya perlu panaskan dalam microwave sudah boleh dimakan. Makanan laut juga banyak dan segar2, tapi mahal. Seketul dua ikan segar tak kurang dari ¥1000 (masa itu currency jumlah itu hampir RM40!). Paket udang2 sampai ¥3000 – 6000 bergantung pada saiz dan jenis. Aku cuba juga mencari Takoyaki (favourite meal), sejenis bebola tepung berinti sotong panas dan ditabur hirisan sirip yu beserta sos kicap diatasnya, harga dari ¥500 – 800. Sepinggan lapan ketul. Sekali rasa memang tak puas.






Selesai soal makan untuk malam itu, Tapi kedai ¥100 masih tak jumpa. Sambung rayau. Kami cuba tanya2kan pada orang sekeliling terutama muda-mudi kota. Ramai yang tak tahu dimana adanya kedai yang satu ini. Rupa2nya kami berada di America-mura, jalanan yang penuh dengan muda-mudi Jepun yang ‘trendy’. Manalah mereka tahu bershopping disitu (almaklum..).

Entah berapa lama melilau melayan ragam kota, sedar2 sudah jam 12tghmlm. Berderau! Entah dimana kita sekarang ni Wan? Aku teringat sesat kali pertama dulu disini bersama Sham dan Hairil (memang tak boleh harap langsung memori aku ni...). Berhenti sekejab dikaki lima jejambat sambil melahap sandwich tadi, air dibeli dari mesin2 minuman yang ada dipenjuru lorong. Merokok (bertenang) memandang kepungan bangunan2 dan lampu2 kota.

Naik kejejambat dua orang gadis Jepun dengan pakaian pop-culture animae mereka, skirt pendek, stoking panjang, rambut kaler bereben. Baik tanyakan mereka jalan balik ke Hotel. Aku meluru dan bertanya. ‘ watashi from Malaysia...lost..want to go back to Hotel Rihga Royal..you know where Rihga Royal hotel?’, haram sepatah pun tak tahu selain watashi dan Malaysia (baguskan..).

Nasib aku bawa kunci bilik dan tunjukkan pada mereka nama Rihga Royal. Entah apa dicakapkan sesama sendiri, seorang dari mereka keluarkan handphone, cari info didalamnya, aku dan Wan perhati saja. Mereka pun nampaknya pening tak tahu. Kemudian kedua gadis mengajak (dengan isyarat) mengikut mereka turun dari jejambat. Hah..selamat. Tapi rupanya bukan hendak menunjuk jalan, dibawanya kami kesebuah kedai, seorang dari mereka masuk dan seketika kemudian keluar dengan seorang pekerja kedai, meminta aku menunjukkan semula kunci billik nama hotel. Pemuda kedai itu pula tergaru2 bercakap entah apa. Bagai bermeeting pula tiga orang itu depan kedai. Sebentar pemuda kedai itu mengajak kami masuk kekedainya (dengan dua gadis itu sekali). Dalam kedai, pemuda kedai itu bercakap2 dengan pengurusnya, dua gadis itu menyampuk sekali-sekala. Aku dan Wan tercongok saja melihat. ‘ ooo..Rihga..Rihga’ kata sipengurus terkebil2. kemudian dia masuk kedalam ofisnya, dari balik cermin ofis nampak dia mengadap komputer. Aku dan Wan berpandangan tergeleng2 menyengih. Sejurus sipengurus keluar dengan print peta. Dia mengajak kami keluar sambil membelek petanya. Diluar kedai, dia menunjukkan arah Hotel (teragak2). Bolehlaa.. kami pun mengucapkan arigato pada kesemua mereka yang bersungguh2 membantu. Dengan senyum mesra dua gadis itu melambai menyambung haluan mereka yang terbantut oleh dua lelaki Malaysia yang sesat dikota Osaka.

Saturday, January 23, 2010

S T R 3 : Rentak Miyazaki, gigil di KAPIC dan Togel Aso-san.



Dari awal petang tadi tiba diBandar Miyazaki, duduk2 dikaki lima memerhati orang lalu-lalang sambil menghela asap rokok Jepun yang kurasa tawar kosong (ikhsan dari Sakae san si pemandu). Aku sebenarnya kecewa kerna gagal mengambil gambar2 tebing tinggi pesisiran laut sebelum tiba dibandar ini (dek terlelap dalam perjalanan). Hanya sempat merakam sekeping dua lanskap taman perhentian. Terlepas peluang menangkap rasa diperkampungan pantai timur Kyushu.









Rentak nafas bandar Miyazaki kurasa tidak jauh beza dengan sebuah bandar diYilan Taiwan dulu (entah kenapa itu perbandingannya...). Bandarnya santai tenteram kecuali mungkin didalam dewan Pusat Seni Miyazaki dimana hingar promosi dan persembahan tarian sedang berlangsung, menggirang peserta Jepun dengan lagu tari tradisional Melayu. Tapi sarafku tika itu agak layu.




Esoknya pagi2 lagi deriaku menyala. Kemahuan yang seolah ingin melampias kekecewaan semalam. Namun kawasan penginapan sekitar agak terbatas menjadikan rasa itu sedikit hambar. Dihujung garis muara kelihatan bukit-bukau dan gunung-ganang. Aku bermenung lama disitu.




Perjalanan bersambung ke bandar Kushima melewati sebuah pekan yang begitu sunyi. Aku hairan, kemana para penghuninya? Masih tidurkah? Tapi itu bukan ciri orang Jepun. Aku bertanya pada Sakae san...dia pun tak tahu. Disitu tersergam sebuah istana lama yang juga sangat sepi namun berjaga kemas. Entah apa sejarah istana itu tak sempat aku cungkil tapi ia mengingatkan aku tentang shogun2 dalam filem.







Di puncak bukit Kushima Farm Environmental Center sedang berlangsung sebuah karnival perladangan. Ada macam2 buah, sayuran dan makanan dari hasil pertanian. Disuatu sudut padang ada pertandingan Sumo antara sekolah2. Pertama kali aku melihat perlawanan Sumo depan mata (budak2 sekolah) dan kelucuan drama yang sempat aku rakam. Kagum melihat ketahanan kulit budak2 itu menahan sejuk.












Tiba diKanoya – Kagoshima lewat petang dan bermalam di KAPIC (Kagoshima Asia Pacific Intercultural Countryside) Center -Takakuma. Sebuah organisasi pertukaran dan kerjasama budaya antara negara2. Sukarelawan (kebanyakannya pelajar2) dari merata negeri Jepun datang kesini untuk menjalani dan menghadiri seminar2 serta kursus2 dan seterusnya melibatkan diri dalam kerjasama antarabangsa yang menyerap kepelbagai bidang. KAPIC Center terletak dikawasan tinggi dikelilingi hutan. Hawa sejuknya menggigit ketulang. Gigiku berlaga tak berenti.

Disini bercampur dengan peserta dari pengusaha2 Homestay, perhotelan dan beberapa wakil institut dan kelab2. Kami benar2 bagai terlantun kealam asrama yang cukup tinggi disiplin dan peraturan. Tidak dibenarkan merokok didalam kawasan penginapan. Tidak dibenarkan berkasut dalam premis (selipar disediakan). Tidak dibenarkan menggunakan dapur selepas jam 9pm (pandai2 la cari jalan masak mee segera kalau lapar), tiada air panas selepas jam 8pm! (tiba jam 6.30 dan briefing sampai jam 7.30! – mengarut!) dan beberapa lagi peraturan yang masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Puak kami membantah perkara air panas dan atas keprihatinan pengurusnya dapat menggunakan air panas hingga jam 10pm...lega).

Malam itu kumpulan perokok mula mencari port dikawasan senggang antara bangunan dalam kesejukan diluar. Tangan dan bibir naik kebas beku. Kami berpandangan...dan ketawa. Perlahan2 kami mencari kehangatan dengan cerita dan pengalaman masing2. Beberapa sukarelawan lain juga datang merokok disitu.

Aku berkenalan dengan Tomoko, seorang gadis dari Sapporo – pulau Hokaiddo yang indah itu. Sambil merokok dia menceritakan pengalamannya sebagai pelatih sukarelawan selama dua tahun diAfrika (tak ingat dimana) tahun lepas. Apa yang dibuatnya disana? Mereka membantu kanak2 dikampung2 pinggir bandar dan pendalaman dengan mewujudkan interaksi dan aktiviti budaya dan pembelajaran (bahasa umumnya). Katanya tidak lama lagi dia akan ke Nepal pula dalam usaha yang sama. Aku belum pernah bertemu dengan orang2 begini. Mendengar perjalanan dan gerak-kerjanya yang belum putus ( dia belum pernah balik ke Sapporo sejak terlibat dengan KAPIC) membuat aku termenung cuba memproses gambaran2 betapa lumayannya pengalaman gadis yang baru berusia 23 tahun ini.

Awal pagi sebelum sarapan, aku melilau mencari shot kenangan di KAPIC. Keindahan sekitarnya membening kata.














Aku tak sedar rupanya dalam jadual perjalanan ada lawatan ke pergunungan Aso – Kumamoto. Hati melonjak dan berdebar. Setakat ini aku hanya melihat lanskap pergunungan dari jauh...kehijauan, kebiruan...kekuningan!



Tempat merokok ini begitu ganjil dan unik dan harus dikongsi-pandang...perhentian sebelum naik ke Gunung Aso.



Jalur dakian melingkar dan meliuk dengan curam dan gaung beberapa kaki dari jalan. Lama mendaki tapi tak jemu oleh permandangan yang sangat asing. Belum pernah aku melihat gunung togel tanpa pokok2. Hanya rumput dan lalang. Suhu mencecah 4°c apabila tiba dipuncak. Kabus tebal laju benar berlari2, turun naik dari dataran2 tinggi dan rendah, bercantum..berpecah dan bercantum lagi. Pandangan terkabur dan mencelah sekejab2. Rupanya rasional disebalik gunung togel ini ialah bila turun salji nanti (barula faham). Gunung berapi ini sebenarnya masih aktif namun tatkala itu kraternya bagai tasik hitam ( saat itu aku terbayang kisah The Hound of Baskervilles – Sherlock Holmes). Kemudian...hujan idea. Aku lari balik ke bas, ambil buku nota dan terus mencatit.














Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam