Friday, December 18, 2009

Jurnal II : Suatu Transformasi Rasa

Petang menular beserta hujan renyai. Aku masih memeta batu tanda untuk Pekau masuk dengan bulldozer esok. Lecah tak seberapa namun but getah mulai memberat meletih kaki dek lekapan tanah, apatah lagi akar selirat menyangkut langkahan. Penat, aku duduk dibanir Batang Terap yang tinggi. Tak berapa lama hujan pun berhenti dan mentari petang memancar dari balik awan. Cahayanya menerobos dari rabung pohonan...bergaris-garis memanah tanah dan daunan. Buat beberapa lama aku hanya melihat dan mendengar, bersandar dengan sunyi dan damai alam. Untuk saat itu aku tahu aku harus merakam permandangan, kedalam otak dan kemudiannya dengan kamera. Permandangan sebegini akan hilang nanti.

Perasaan berbaur untuk seketika memikirkan hal itu namun ketenangan terus memeluk. Kiranya kebeningan saat itu sangat lebih penting untuk dihayati...dan aku membiarkan diri dipeluk alam sekeliling. Jarum-jarum cahaya, akar dan rimbunan hijau, bauan segar tanah dan warna dan bayang batang serta ranting-ranting...













Sebentar aku turun ke sungai, satu-satunya kawasan yang tak akan terusik. Airnya mengalir perlahan bernafas lesu. Mengail disini dapat juga keli dan sesekali kalau nasib baik lampam sebesar tiga atau empat jari.



Ada semacam suatu rasa terkilan tatkala aku pulang petang itu. Entah apa tak dapat aku rumuskan. Mungkin limpahan rembang mentari dan bayang-bayang pohonan didada bumi yang menyuntik rasa itu. Esok pohon-pohon akan rebah. Daun-daun meringkai akan kering dan gugur. Warna dan bentuk kawasan tadi akan bertukar. Gerak-hias alam lingkungan itu akan berubah denyutannya.
























Entahlah. Aku kira begitulah kemahuan manusia merubah corak alam.


Salam Maal Hijrah.

3 comments:

StellaSakuragi said...

Hi Zehann, it's been a long time..nice to see u blog again..

Sulela said...

Sedang membayangkan kedamaian dan ketenangan itu. Kalaulah ianya kekal...

Zehann ur Rakhie said...

Salam buat Stella dan Sulela.

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam