Monday, June 1, 2009

Suatu Cerita...

Orang semakin sedikit didalam gerabak tren komuter setelah berlepas dari stesyen Syah Alam. Johar duduk ditepi tingkap merenung sugul keluar. Hatinya tak tenteram, fikirannya celaru. Masalah rumahtangganya menendang-nendang dalam jiwa.


Kalau dulu waktu pulang kerja begini, hatinya segar dan ligat merancang waktu malam dan hujung minggu mereka. Keluar makan2 direstoran, menonton wayang atau paling tidak duduk minum2 sambil merenung bintang ditepi tasik. Tapi satu dua menjak ini ajakan seperti itu selalu ditolak Mira. Mula2 letih, kebelakangan ini perkataan ‘malaslah..’ yang diucap Mira begitu menyengat hatinya. Kalau ditanya lebih2, Mira akan naik angin satu badan. Sudahnya sampai kepagi mereka tak bercakap. Paling teruk, Mira nampaknya sering menolak bila Johar ingin bersama. Johar langsung tak dapat meneka punca mereka jadi begitu.


‘stesyen..Padang Jawa’ diumumkan dan tren mula bergerak perlahan. Sepasang remaja India yang duduk didepan Johar mula bangun berlaga-laga badan bagai bermagnet tak sabar2 berdiri dipintu tren. Dari gerak tubuh dan wajah, jelas mereka sedang bercinta. Johar sekilas memandang cuak. Tren pun berhenti. Johar bangun malas dan keluar lambat-lambat. Angin malam itu agak panas berbeza dengan hawa dalam tren. Pasangan muda India tadi terus berkepit jauh didepan. Laju benar mereka berjalan menuju ketangga jejambat. Johar tiba dikaki tangga jejambat dan mendapati pasangan muda India tadi berada disudut atas jejambat membelakanginya...beromen disitu. Johar cuak lagi sambil mendaki dan melewati mereka. Ditengah jejambat itu pula kelihatan seorang lelaki Cina berkemeja putih nampak seperti sedang menikmati permandangan disitu. Dah beberapa kali Johar perasan kehadiran lelaki Cina itu disitu. Dia nampaknya tak tergesa2 untuk keluar dari stesyen dan pulang seperti orang lain. Agaknya permandangan dari atas jejambat itu memberi ketenangan kepadanya fikir Johar.


Setiba dirumah, Johar mendapati Mira mempunyai tetamu. Seorang wanita muda jelita dan seorang pemuda. Mira dengan senyum manis memperkenalkan tetamu itu sebagai rakan perniagaannya bernama Sarah dan Razif. Tetapi kedua tetamu itu tidak menunggu lama, belum pun sempat Johar meletakkan beg pejabatnya mereka sudah meminta diri sambil Sarah menghadiahkan suatu senyuman pada Johar dengan pandangan mata yang menikam. Malam itu Mira cepat benar tidurnya. Johar termenung tangan didahi disebelah isterinya.


Johar mengenang semula perkahwinannya dengan Mira. Tidak seperti kebanyakan pasangan kenalan mereka, penyatuan mereka telah diatur oleh orang tua masing-masing. Mira seorang wanita yang sofistikated malah kadangnya tampak agak superior dari Johar. Seorang lepasan kolej terkemuka diibukota dengan lulusan pengurusan perniagaan dan mempunyai perniagaan sendiri manakala Johar adalah graduan institusi pengajian tinggi yang kini memegang jawatan juruteknik IT disebuah syarikat. Mira lahir dikota metropolitan sedangkan Johar adalah anak kampung yang kini membina hidup baru dikota. Berdirinya rumahtangga mereka adalah dari persetujuan dan rancangan kedua orang tua yang bersahabat dari kecil. Hubungan mereka sebagai suami isteri pada awalnya boleh dikatakan sangat mesra. Kerana itulah Johar tidak mengerti mengapa Mira agak mendadak berubah tingkahlakunya kebelakangan ini. Bila Johar cuba bertanya, Mira seolah mengelak dan mengubah topik yang hambar menambah kebingungan Johar. Mira sangat bijak bermain kata dan memanipulasi situasi hingga akhirnya isu sebenar yang hendak disentuh terbenam jauh. Paling tidak Mira akan bermain dengan reaksi yang lebih mengelirukan membuatkan Johar akhirnya terdiam bingung sendirian.


Esoknya Johar menerima cadangan dari seorang sahabat untuk membawa masalah rumahtangganya kepada seorang pakar kaunseling rumahtangga, satu-satunya idea paling munasabah bagi Johar. Lantaran itu Johar menghubungi Mira untuk mendapatkan persetujuannya namun Johar terkejut bila Mira laju saja menolak dengan alasan mereka tiada sebab untuk bertemu sesiapa pun diatas perkara itu. Johar menjadi semakin pening dan geram. Hampir saja dia bertegang leher melalui telefon jika Mira tidak meletakkan telefon. Kejadian itu membuatkan Johar semakin nekad untuk mengupas permasalahan mereka walau apa cara sekalipun. Johar bercadang untuk menggunakan kuasanya sebagai suami bagi mendesak Mira melihat ‘masalah’ yang mereka hadapi hari itu juga. Cukuplah dia berlembut dan beralah, hari itu Johar akan memperlihatkan pada Mira bahawa dia adalah suami dan ketua keluarga!


Johar pulang awal hari itu. Dia mahu menunggu Mira dirumah. Dia hendak bersedia dengan segala kemungkinan. Pertengkaran mungkin tak dapat dielakkan lagi. Tapi hari itu dia hendak menamatkan segala kebingungan yang melanda rumahtangganya bersama Mira. Dia sudah penat berteka-teki.


Sepanjang perjalanannya dari stesyen komuter ke kawasan perumahannya yang terletak tidak jauh dari stesyen, fikiran dan perasaannya berbaur. Namun Johar yakin dengan ketegasannya kali ini, Mira tidak akan lagi dapat berdolak-dalik. Tatkala melewati sebuah rumah dikawasan perumahan, Johar terdengar suatu pertengkaran yang meletup-letup dalam bahasa Cina dari dalam rumah itu. Entah kenapa langkah Johar terhenti didepan pagar seraya memandang rumah teres setingkat itu. Pertelingkahan itu nampaknya berlaku diantara seorang lelaki dan perempuan dan mencapai kemuncak bila dia terdengar bunyi barang2 seakan dihempas kelantai atau dinding serentak dengan jeritan menggila. Ketika itulah muncul seorang lelaki cina keluar dari pintu rumah tergesa-gesa sambil menggeleng-geleng kepala dengan wajah murung. Jerit-tangis suara perempuan dari dalam rumah masih kedengaran. Lelaki Cina itu berpandangan dengan Johar tidak tahu hendak senyum atau apa. Sekilas kelihatan lelaki cina itu seperti hendak berkata sesuatu kepadanya tapi Johar cepat2 menyambung langkahnya. Dia kenal lelaki cina itu. Dialah yang selalu ditemui distesyen komuter, diatas jejambat. Entah apa pula masalahnya fikir Johar terus menapak.


Didepan rumah, Johar mendapati kereta Mira ada disitu. Bermakna Mira lebih dahulu tiba. Johar mengeluarkan kunci rumah dan membuka pintu. Memang jika Mira berseorangan, pintu rumah akan berkunci. Zaman ini macam2 boleh jadi jika tidak hati2. Johar menarik nafas dan masuk kedalam rumahnya. Hatinya sedikit berdebar tapi dia tahu dia harus kuat kali ini. Sambil mendaki tangga naik kebilik tidur, Johar mencari kekuatan dan kebijaksanaan untuk berhemat didepan Mira. Hendaknya jangan pula persemukaan itu memburukkan lagi situasi mereka. Johar perlahan-lahan membuka pintu bilik dan ketika itulah dia melihat sesuatu yang membuatkan darahnya berderau! Mulanya Johar tidak faham apa yang sedang dilihatnya, kedua mereka nampaknya sangat asyik dengan perbuatan mereka hingga tidak perasan lagi kehadiran Johar dipintu. Dalam beberapa detik Johar cuba memproses kejadian didepan matanya. Dia semakin kebingungan lantas entah kenapa...perlahan-lahan Johar beredar dari situ.


Johar menghabiskan sisa hari itu dengan perasaan tak keruan. Tanpa disedari, dia telah berjalan semula kestesyen komuter menuju ke ibukota. Johar tidak tahu lagi kemana langkahnya. Dari petang membawa ke senja dan hingga ke lewat malam dia merayau-rayau dijalanan kota. Akhirnya Johar menaiki tren lewat malam kestesyen Padang Jawa. Kini fahamlah Johar mengapa Mira selalu menolak dirinya. Selama ini rupanya Mira hanya berpura-pura sebagai isteri. Perbuatan Mira petang itu sangat mengejutkan!. Dia tidak pernah menyangka yang Mira rupanya adalah seorang lesbian! Pasangannya adalah Sarah yang diperkenalkan Mira semalam. Apakah yang harus dilakukannya kini?


Distesyen Padang Jawa, Johar melangkah lemah keluar dari tren. Diatas jejambat kelihatan lelaki cina petang tadi sedang melangut memandang kejauhan. Mereka berpandangan dengan wajah serba-salah. Lelaki cina itu cuba tersenyum dan Johar membalas hambar. ‘kau ada masalah...aku pun ada masalah’ terdetik difikiran Johar sambil melewati lelaki cina itu. Ketika tiba dikaki tangga jejambat, Johar mendengar suatu jeritan dan hanya sempat melihat lelaki cina itu melompat dari atas jejambat keatas landasan dimana sebuah tren sedang menghampiri stesyen!. Johar terkaku melihat tubuh lelaki cina itu digilis tren.


Buat beberapa lama selepas kejadian itu, Johar masih tidak dapat melupakan wajah lelaki cina tersebut memandang dirinya sebelum membunuh diri. Kalaulah dia memutar masa, tentu dia akan berhenti dan bercakap-cakap dengan lelaki cina itu, sekurang-kurangnya mendengar masalahnya yang mungkin dapat mengelakkan tragedi tersebut. Kalaulah.....


Selepas menceraikan Mira, Johar selalu kelihatan distesyen komuter, dia akan menghampiri sesiapa saja yang dilihatnya seperti bermasalah. Dia akan mendekati orang itu dengan ramah dan lembut seraya bertanya – ‘ kamu ok ke?’.


Tamat.

Wednesday, May 20, 2009

si Jubei


Kodok ini kupanggil Jubei. Dia penghuni tetap kayu hanyut yang kuambil dari Sg Kiol lama dulu. Letaknya tempat rehat Jubei ini diberanda bengkel. Kalau aku berjalan keluar depan bengkel, Jubei selalu aku tegur. Sesepetang tatkala aku duduk merokok ditangga beranda menunggu lembayung, Jubei akan ada menjadi teman (dulunya selalu dibuat Polli tapi Polli telah mati digelek kereta pengunjung). Jubei ini banyak anak cucunya merata. Tak seperti yang lain mencari tempat redup dan dingin, Jubei memang gemar bermandi cahaya petang.


Sejak beberapa lama kemudian aku dapati Jubei sudah tidak ada lagi ditempat rehatnya. Dua tiga petang tak kelihatan kelibatnya diberanda. Kemudian aku temui bangkai seekor kodok didalam bekas tong air kapur ditepi bengkel. Aku tak pasti samada ianya si Jubei tapi sejak itu tidak nampak lagi Jubei tercongok diatas kayu hanyut diberanda.

Tuesday, May 12, 2009

MELEPASKAN HANTU...


Aku memberi salam dan naik kerumah. Diruang tamu disudut meja pc insan ini sedang melangut komputer hanya berseluar pendek. Hawa panas tengahari. Insan ini nampak seperti belum pun mandi pagi lagi. aku duduk dikerusi malas dan mula bercakap de
ngannya. Isinya agak penting untuk diperkatakan – berkenaan dirinya juga. Dia buat dengar tak dengar dengan mata terpaku keskrin pc. Hati jadi panas.

‘ itu mesin!...aku ni orang...mana lagi patut kau pandang!’.


Masih lagi berdegil tanpa suara tapi ada jelingan tajam. Membakar. Sekarang pintu terbuka, dimuka pintu itu ada keburukan, didalam keburukan itu ada amarah...belum nampak rupa sebenar, tapi sedang menunggu untuk muncul. Harus dipancing keluar..malah ia menunggu untuk dipancing. Apakah umpannya? Ada macam2 umpan yang boleh digunakan, kalau ia petrol, umpannya percikan api untuk melihat rupa sebenarnya, tapi kena hati2 kalau tidak akan terbakar sekali. Hawa semakin terasa panas tambah lagi aku pun belum baik benar dari demam. Tarik nafas sebentar, biar udara masuk menyejuk.


baiklah...anda lebih matang, lebih banyak fikir...’


‘ apakah masalahnya kita ini? Mengapa jadi begini? Kau bukan budak kecil lagi? Kau bukannya tak waras...! mari kita bicara sekarang!’ sedikit lembut. Aku pasti memancing dengan percik api akan terbakar kedua2nya. Tapi aku mahu tahu apakah rupa yang ada disebalik amarahnya.


‘marilah...hari ini kita bedah, aku pinta sebagai orang yang kau kenal’.


Aku katakan begitu kerna aku bercadang untuk melakukan sesuatu bersama insan ini. Sesuatu yang melibatkan masa depan dan ianya sangat penting utk survival lantas kesejahteraan hidup.

Dan hari itu pintu yang aku sangka aku kenal dan biasa lihat rupanya adalah suatu pintu yang telah lama usang bersarang. Ia adalah pintu yang sekian lama tak dibuka. Dibelakang pintu itu berdiri amarah tadi dan rupawajahnya adalah dendam.


Kami berbicara, terbuka segala macam dosa yang berkapuk. Antara dia dan aku. Dosa yang belum pernah disapu bersih antara dua jiwa. Begitu lama hingga ia telah menjadi ‘hantu’ dengan sifatnya menghantui, bermain2 dibawah sedar dan dibalik muka. Menghasut, mendengki dengan segala keburukan dendamnya. Ia mencabar dengan lantang, menjuih mengejek dan memperlekeh akal budi. Begitu buruk rupanya hantu ini, dendamnya tak sudah.

Aku memang sudah lama menjauh sejak aku mencari kaki langit sendirian. Aku menjadi tidak peduli sejak kaki langit kutemui dan bersandar pada tiangnya. Menjadi asyik pada diri sendiri. Untuk itu aku akui kebebalan diri.


Aku melihat matanya berair, aku juga...cuba menahan tangis.


‘ maafkanlah aku...dari dulu hingga sekarang, aku tahu aku buat kau begitu dan begini pada kau. Aku telah tinggalkan kau. Aku ini bodoh dulunya. Aku baru belajar berfikir dan bermenungan..maafkanlah aku wahai...adikku’.


Dan kami bersalaman dan itu adalah pertama kali sejak sekian lama, dan aku harap dia dapat melepaskan hantu itu pergi dari pintu jiwanya.



Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam