Saturday, July 4, 2009

Ada Sesuatu Yang...

Ada sesuatu yang... - Ini adalah tajuk asal kepada koleksi cerita misteri yang pernah aku tulis dari tahun 1995-98. Dari banyak-banyak koleksi ini, setahu aku hanya satu saja yang pernah keluar dimajalah komik tempatan. Didalam blog ini ianya diberi tajuk - Suatu Cerita - seperti yang kalian baca diblog ini.

Aku akan mengundur diri buat sementara dari menulis diblog ini atas suatu urusan peribadi. InsyaAllah..jika panjang umur aku akan kembali. Selamat terhibur dengan persembahan kisah berikut. Salam buat kalian yang mengunjungi blog ini. Terimakasih.


Petang itu hujan turun lebat sekali. Suasana berek keretapi lima pintu yang terletak ditengah hutan dibatu 35 itu kelihatan suram dingin. Yahya yang sekejab tadi menghantar Pak Awang ke kampung Sg Mai yang jauhnya kira-kira lima batu lebih dari berek keretapi kini terpaksa bersusah-payah menolak motosikalnya yang mati ditengah jalan. Denai tanah merah yang lecah berat dengan lumpur menyukarkan motor untuk bergerak. Mujur Yahya sudah tidak jauh dari berek ketika enjin motornya padam.


Dalam lencun meredah hujan dan lumpur, Yahya terasa sedikit bimbang memikirkan kemungkinan dia akan berseorangan diberek keretapinya malam itu. Sebelum itu ada dua keluarga yang tinggal diberek keretapi tersebut. Tapi si Osman yang bertugas sebagai mekanik dan anak beranaknya berada dirumah mertuanya menunggu isterinya bersalin. Hassan pula nampaknya belum lagi pulang dari Temerloh. Kalau sudah pulang pun tentu dia akan tinggal semalaman pula dirumah iparnya diKampung Gong dimana isteri dan anak-anaknya berada apatah lagi dengan hujan begini. Pak Awang yang menjadi mandur selenggara keretapi memang sudah lama tidak tinggal diberek sejak mempunyai rumah sendiri di Sg Mai. Kerana itulah Yahya yang bekerja sebagai kuli penyelenggara landasan keretapi sejak enam bulan lalu tidak boleh meninggalkan pos kawalannya. Ini adalah kali pertama dia bersendirian diberek itu. Macam-macam cerita telah dia dengar mengenai kawasan yang terpencil lagi terasing itu. Kampung paling hampir pun terletak dua batu dari situ. Seram juga.


Yahya tiba diberek dalam keadaan gigi berlaga kesejukan. Setelah mandi dan solat, Yahya membuat kopi. Tiada yang lebih enak dari duduk dimeja tepi tingkap dengan secawan kopi pekat beserta beberapa keping biskut Jacob. Diluar hujan terus mencurah-curah. Persekitaran berek kome bening gelap padahal jam baru menunjukkan pukul 5.20 petang. Sememangnya suasana petang diberek tengah hutan itu cepat gelap berbanding dikampung apatah lagi kalau hujan. Sambil mengunyah biskut, Yahya membelek suratkhabar Jawi bertarikh 14hb April 1965 yang dibeli Pak Awang pagi tadi. Tiada apa yang menarik perhatian Yahya kecuali beberapa berita tentang P.Ramlee seniman yang diminatinya. Bosan, Yahya membuka radio. Lagu Anakku Sazali berkumandang memecah bisu. Sebatang pelita dinyalakan sekadar menerangi sudut suram.


Yahya kemudian duduk dikerusi malas lalu menggulung rokok daun. Sambil menghembus asap rokok, Yahya mengenang kata-kata Pak Awang siang tadi. ‘ takde apa nak ditakutkan, kawe dah duduk sini lebih sepuluh tahun..tak penah jumpa apa-apa pun. Memang ada sikit-sikit ‘bunyi’ tapi jangan deme hiraukan sangat, takkan apa-apanya deme ’. Kata-kata itu walaupun dengarnya sedikit menyenangkan tapi ‘bunyi sikit-sikit’ itu agak menggusarkan juga. Selama dia tinggal dan bekerja disitu, inilah kali pertama dia berasa begitu sunyi. Tiada riuh suara anak-anak Osman atau Hassan dibalik dinding atau dihalaman bermain dan bergurau. Tiada kecoh suara kak Ani dan kak Eton berborak dibangku depan berek. Tiada ‘pom pom pom’ motor Norton si Osman menggoncang hening petang seperti selalunya. Hari itu...petang itu, hanya suara hujan membelenggu suasana. Sunyi hening. Jika dia sudah berkeluarga nanti, tentu dia tidak akan kesunyian lagi seperti hari itu. Yahya mula melayan perasaan.


Halaman tanah merah yang lapang depan berek terus dihujani berat melopak menakung air. Kulit bumi yang kering siang tadi melembut dan sejuk. Cucur atap berek berintisan bertali dan berirama rancak. Mata Yahya pun terpejam-pejam.


Yahya tersedar tatkala azan maghrib mengalun dari speaker radio. Segera Yahya bangun menutup tingkap dan menyelak pintu. Gelap benar diluar. Masih hujan tapi sudah kurang lebat. Yahya segera bersolat. Selesai solatnya, Yahya mula memasak nasi. Lauknya ikan kering, telur dan kicap bercili. Cukup membuat air liur Yahya kecur dek kelaparan. Tatkala menyediakan makan malamnya itu, terdengar ketukan dipintu serentak suara memberi salam. Yahya tersentak berderau. Siapa pula datang tengah-tengah hutan malam-malam begini? Dalam hujan pula?! Buat beberapa ketika Yahya agak serba-salah. Tapi salam harus berjawab! Sambil membuka pintu Yahya menjawab salam. Dia terpempan bila melihat diluar ada seorang pemuda berpakaian kemas tapi basah lencun dek hujan sedang berdiri kesejukan.


“ kereta saya rosak...” ucap pemuda itu sambil menggigil menahan sejuk.


“ masuk..masuk” segera Yahya menjawab mempersilakan pemuda itu.


“ basah ni..?”


“ ah..tak mengapa. Masuklah dulu, nanti saya ambilkan tuala dan pakaian. Bilik air disana” Yahya menunjuk arah.


Pemuda itu akur terus kebilik air sementara Yahya mengambil tuala untuknya.


“ terimakasih” pemuda itu mengambil tuala yang dihulurkan sambil cuba tersenyum. Terdengar giginya bergetar berlaga.


“ mandilah dulu. Nanti kita makan bersama” sela Yahya lagi.


Pemuda itu terangguk-angguk lalu menutup pintu bilik air. Yahya bergegas menutup pintu lalu mengambil tudung saji dan menutup hidangan malam yang terletak diatas tikar dilantai. Setelah itu Yahya menarik nafas panjang lalu duduk merokok lagi dimeja tepi tingkap. Anehnya dia tidak menaruh apa-apa kecurigaan langsung pada tetamu yang tidak diundang itu. Tidak pula dia merasa hairan dengan kehadiran pemuda itu. Fikiran dan hatinya terasa lapang saja. Dari dalam bilik air terdengar laju ceburan air. Kemudian senyap. Yahya terfikirkan sesuatu lantas bangun menuju kealmari bajunya. Diambilnya sehelai kain pelikat dan baju melayu yang siap bergosok. Setelah itu dia menggoreng sebiji telur lagi. Sejurus pemuda itu muncul dari bilik air dengan bertuala. Giginya masih berlaga.


“ air disini memang sejuk malam-malam begini” ujar Yahya tersenyum lantas menghulur pakaian kepada pemuda itu.


“ ya...terimakasih” jawab pemuda itu lalu bertanyakan tempat bersolat. Yahya menunjuk sejadah yang tersedia dilantai.


“ bilik berek ni kecil saja. Ruang tamu nilah tempat tidur, tempat makan dan tempat solat saya. Senang. Bilik yang ada saya buatkan stor. Solatlah dulu”.


Beberapa minit kemudian mereka berdua pun bersila diatas tikar. Setelah berdoa, Yahya membuka tudung saji. Pemuda itu diam saja tapi terbayang rasa syukur diwajahnya. Dia kelihatan lega dan lapang sekarang. Asap nasi yang masih panas berlegar diatas pinggan. Mereka berdua pun menjamah hidangan sambil mula berbual kecil. Pemuda itu memperkenalkan dirinya sebagai Rahman. Dia dalam perjalanan kerumah ibunya dikampung Paya Sok. Tapi Yahya tak bertanya banyak kerana dia mahu pemuda itu makan dengan aman.


Setelah selesai makan malam. Mereka menyambung perkenalan mereka dimeja tepi tingkap. Hujan masih berintikan diluar. Pemuda itu menawar diri untuk menyediakan kopi untuk mereka. Yahya tak membantah. Sambil menghirup kopi panas, mereka mula berbicara. Sekelip mata saja kedua mereka mesra. Dari perkenalan itu mereka mendapati rupanya mereka berjiran kampung. Menurut pemuda itu, dia akan mula bekerja di Jerantut dan dalam perjalanan kerumah ibunya ketika keretanya rosak tidak jauh dari situ. Yahya mendapati dirinya senang sekali dengan pemuda yang berwajah bersih itu. Mereka berbual dan berbual seadanya hingga mereka benar-benar mengantuk. Yahya kemudian menyuruh pemuda itu tidur dikatilnya tetapi pemuda itu mendesak agar Yahya tidur dikatilnya seperti biasa. Setelah mengucapkan selamat malam dan memadam lampu, Yahya terus lena dalam ketenangan.


Awal subuh lagi Yahya sudah bangun seperti biasa dan melihat pemuda itu masih sedang nyenyak tidur. Yahya tersenyum lembut melihat wajah pemuda itu. Entah kenapa hatinya terasa sayu pula melihat wajah pemuda itu. Dia menyelimutkan pemuda itu dengan selimutnya lalu keluar untuk mengambil Pak Awang dikampung dan berjemaah disana. Apabila Yahya kembali semula menjelang fajar, pemuda itu sudah tiada.


Tidak lama kemudian, Yahya menikahi seorang gadis yang dicintainya. Namun Tuhan lebih sayangkan Yahya. Setelah dua tahun berumah-tangga, Yahya meninggal dunia.


Rahman terjaga dari tidur dicucuk kedinginan Subuh. Dalam samar cahaya, dia mendapati dirinya seorang diri dibilik berek itu. Katil pemuda Yahya itu telah kosong. Dia menjenguk keluar pintu, hanya kegelapan dan kabus tebal. Motosikal kepunyaan pemuda Yahya itu sudah tiada didepan berek. Rahman pasti pemuda yang baikhati itu mungkin telah keluar bekerja. Rahman melihat jam tangannya, pukul 6.30 pagi. Selesai bersolat, Rahman pun bersiap-siap untuk kembali ke keretanya. Dia harus melapur diri dipejabat daerah Jerantut jam 8 nanti. Kalau sempat Rahman bercadang mahu kerumah ibunya dulu sebelum ke Pekan Jerantut. Sepatutnya semalam lagi dia harus sampai dirumah ibunya jika tidak kerana keretanya rosak ditengah jalan. Mujur dia ternampak cahaya lampu berek keretapi itu walau sedikit terlindung oleh hutan kecil. Cuma Rahman sedikit kecewa kerana tak dapat mengucapkan terimakasih kepada pemuda Yahya yang berwajah jernih dan baikhati.


Rahman menyusur denai berlecah untuk keluar kejalan besar yang terletak kira-kira 70 meter dari berek keretapi. Hari masih pagi benar. Kabus tebal menyelubungi sekitar alam. Kedinginan tajam menikam. Tiba dijalan besar, Rahman segera cuba menghidupkan keretanya. Setelah beberapa kali, usahanya masih gagal. Rahman memandang-mandang kesekitar. Dari jauh kelihatan berbalam cahaya lampu menuju kearahnya. Lampu motosikal. Rahman segera berdiri ditepi jalan untuk menahan motosikal itu. Sipenunggang motosikal itu pun berhenti. Orangnya agak berumur berkopiah kelabu.


“ Assalamualaikum pak cik, kereta saya rosak, ada tak pomen yang boleh tolong tengukkan?” tanya Rahman.


Pakcik itu mendekati kereta Rahman sambil menyuruh membuka bonet kereta. Sejurus dia mengarahkan Rahman menghidupkan enjin keretanya. Gagal juga. Kemudian pakcik itu menggodek-godek entah apa lantas menyuruh Rahman mencuba lagi. Berderum enjin kereta itu hidup. Rahman lega. Segera dia mengucapkan terimakasih pada pakcik yang kemudian dikenalinya sebagai Osman. Rahman kemudian bercerita bagaimana keretanya terkandas dalam hujan semalam dan terpaksa bermalam diberek keretapi disitu bersama pemuda Yahya. Wajah pakcik Osman pun berubah cuak.


“ Yahya mana?”


“ tu..yang tinggal diberek keretapi tu..” jawab Rahman tersenyum. Tapi pakcik Osman tidak tersenyum, malah nampak begitu terperanjat dengan kata-kata Rahman.


“ nak...mana ada orang tinggal diberek tu lagi! Dah bertahun-tahun tempat tu terbiar!” sahut pakcik Osman.


“ pakcik usah bergurau...saya bermalam diberek tu semalam! Mari saya tunjukkan..” jawab Rahman bersungguh-sungguh.


Lantas kedua mereka terus ke berek keretapi dengan motosikal pakcik Osman. Setiba diberek, Rahman terkejut melihat keadaan sekitar berek yang bersemak tak seperti semalamnya. Terus dia berlari menuju kebilik pemuda Yahya dan darahnya berderau bila mendapati bilik itu begitu usang terbiar. Dalam keadaan terkejut, pakcik Osman menceritakan bahawa duapuluh tahun dulu memang ada seorang pemuda bernama Yahya tinggal disitu bersama dia sendiri yang dulunya bekerja sebagai mekanik selenggara keretapi diberek itu. Katanya lagi pemuda Yahya itu telah meninggal dunia selepas dua tahun berkahwin. Isterinya dikatakan berpindah kekampung lain selepas itu.


Selepas kejadian itu, Rahman demam seminggu dirumah ibunya. Suatu hari setelah agak pulih, Rahman duduk-duduk diruang tamu sambil membelek album lama milik ibunya. Tiba-tiba dia terpandang suatu gambar yang membuatkan dirinya menggeletar. Dia menjerit memanggil ibunya yang terkocoh-kocoh datang.


“ ini siapa mak?” tanya Rahman dengan muka separuh pucat sambil jarinya menunjuk pada seseorang didalam gambar lama itu.


Ibunya menjawab perlahan. “ itu...arwah ayah kau”.


Rahman tersedu sebak dan perlahan-lahan menangis sambil matanya terpaku melihat gambar pemuda Yahya yang berdiri bersama beberapa orang lain didepan berek keretapi.


Tamat.

7 comments:

StellaSakuragi said...

dah agak dah.. hehehe.. tingat citer The Others, hehehe

Sulela said...

Dapat juga anak dia berjumpa dengan ayahnya walaupun dalam keadaan yang agak seram...huhuhu...

Saya berasa kagum dengan gaya penulisan saudara Zehann. Tak jemu saya membacanya...

oNe said...

best!!!!
2 thumbs up..

JHaZKiTaRo said...

salam ramadhan dari penuntut di bumi Eire.. blog hopping.. rajin2, lompat laa ke blog hamba.. :)

shamdesign said...

lama x nampaks

Zehann ur Rakhie said...

sapa nak tau - sham ni la sifu batek aku masa kat KL.

Terimakasih Sham.

shamdesign said...

segan la aku eddie.....

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam