Thursday, December 24, 2009

S T R 1- dari Kebun ke Jepun...lagi.

Semalam dan sebelumnya...bingkai kehidupan berdenyut dan melelar dari rumah ke kebun dan bengkel. Semalam pandangan tersalut oleh umpamanya siput yang bergulung ditengah rencah lumpur. Oleh daki dan selaput lumut dikayu yang mereput. Merambah-randuk semak ranjau kaki bukit.



Hari ini...beribu kilometer dari semalam, aku menjejak kaki lagi ke bumi Jepun.

Fukuoka – Kyushu, musim luruhnya memanggil dengan daunan Icho dan Momiji yang kuning dan merah mulai meranggas dijalanan kota. Cuaca sedikit mendung. Aku sendirian saja berjalan menyusur kaki lima sungai Muromi yang hijau kebiruan, menyedut udara sejuk-segar ditengah kelengangan sisi kota.





Kaki damai saja melangkah menyisir tebing asfalt sepanjang sungai Muromi yang hening aman. Harus suasana itu menggugurkan segala macam kekusutan (pasti ada) sejurus fikiran semacam menjadi kosong. Sendirian leka khayal. Permandangan sepanjang bersiaran itu menjentik gangguan difikiran oleh kebersihan jalan taman pinggir kota. Terganggu kerana pandangan terbiasa dengan sampah atau paling kecil pun puntung rokok di jalanan. Disini segan hendak menjentik puntung rokok kemana2. Pengalaman lalu membuat aku sedia dengan poketai (poket ashtray) yang ku beli tatkala pertama kali diJepun dulu.









Matsusaka pernah bercerita bahawa Bandar ini dulu adalah benteng pertahanan puak Shogun dari serangan Empayar Kublai Khan sipenakluk Mongolia yang terkenal itu. Para Samurai membina benteng batu sepanjang Teluk Hakata dan mengikut cerita taifun telah membalun kapal2 perang puak Mongol menghalang serangan. Kini ia adalah kota pelabuhan yang cukup aman nan indah.

A gateway untuk ke Korea dan China












Garis-garis dan jalur pandangan ini mengingatkan aku pada jalan masuk kekebun. Warna dan elemen fizikalnya kontras namun perspektif, formasi malah garis misterinya tetap wujud. Aku tak cukup masa untuk meneroka jauh.





Sekarang mahu berjalan ke Yahoo Dome atau ke pantai?. Aku memutuskan untuk kepantai saja. Dari jauh kelihatan ada orang memancing digigi tebing. Sebentar saja cuaca semakin mendung. Angin laut menikam dingin.





Agak lama berjalan hingga tiba dijambatan penghubung antara Taman Momochi dan Yahoo Dome Fukuoka, aku bertembung dengan kumpulan pekerja2 bandaran yang bertugas setia pagi dan petang memastikan jalanan dan kaki lima kota tersapu bersih. Rata2 mereka adalah terdiri dari golongan tua. Sesuatu yang hingga kini masih menarik perhatianku. Sememangnya kita akan dapat lihat golongan wanita berumur Jepunlah yang bertanggung-jawab memikul tugas ini. Aku melihat mereka dan tugas ini dimana2 saja diJepun. Betapa tidak, bumi Jepun ini adalah rumah mereka dan mereka memainkan peranan sebagai ibu penuh rela. Aku diberitahu ada diantaranya adalah pekerja sukarela dari komuniti setempat. Di Taiwan dulupun begitu. Alangkah beruntung jika kita pun...



Arca logam yang terhias dikaki lima jambatan ini mengingatkan aku pada cerita2 raksaksa Jepun. Disudut ini raksaksa aneh ini sedang beraksi tapi...err tak nampak pula si ultraman?



Pantai buatan Taman Momochi. Dihujungnya adalah kompleks Marizon. Dengan ¥1000 tambang sehala boleh ke Marine World kira2 15 minit dengan ferri.








Seorang tua memancing dibenteng batu berteman seekor burung yang aku kira menagih sedikit rezeki darinya. Aku mendekat dan burung itu terbang lari dan apabila aku menjauh, burung itu kembali ketempatnya.Tentu burung ini sudah terbiasa dengan kehadiran situa pemancing itu dan sebaliknya. Aku tak mahu mengganggu bertanyakan jenis2 ikan disini apatah lagi belum pasti samada sipemancing itu boleh berbahasa Inggeris...malah mahu berbicara sekalipun. Kalaulah aku membawa joranku...





Selain Menara Fukuoka yang megah merenung teluk Hakata sebagai menara tepi laut tertinggi diJepun, aku mendapati besi tambat (kalau itu bendanya) sangat menarik untuk dirakam. Karatnya melimpah dan menukar warna batuan hingga menambat rasa klasik sekaligus melankoli sekitarnya. Riak laut seakan berbisik dipermukaan cat yang tersisa. Ia duduk diam sedih sendiri dalam tegap lagak.








Dalam perjalanan pulang ke hotel aku melihat makcik ini dengan tekun asyik dengan kerjanya membuat aku sangat menghargai poketai yang aku pakai dan semakin memahami budaya Jepun dalam kebersihan alam persekitaran. Aku berfikir demikianlah pemikiran orang2 negara maju. Rupanya isu kebersihan ini menjadi topik besar kemudiannya.




Monday, December 21, 2009

Jurnal II : S T R - Olek Bumi


Kadangkala tentuan dari perubahan dapat memberikan suatu yang preskriptif dari seni pandang. Aku memang selalu tertarik pada jalur rasa dan kedalaman ruang, malahan segala seperti itu
selalu kedapatan pada tumpahan tenaga warna dalam lukisan-lukisan. Laluan yang sudah dirintis terbuka itu menjulur rasa misterius tidak saja bagi aku sendiri tetapi juga pada orang lalu-lalang. Mereka berhenti dan tertanya2 kemana pula jalan ini? Apakah dipenghujungnya? Sebelumnya berdinding hutan. Kesan tayar itu sendiri menarik rasa ingin tahu. Berbicara ia seakan mempelawa masuk meneroka. Kiranya begitulah kesan alam bersuara dengan corak dan ragamnya.



Orang tua2 ada berkata – bumi ini redha memberi dan menerima..lalu bakti berbalas bakti. Kita menarah dan menakik pada rekaan-rekaan seni dan sains agung Tuhan. Kadangnya tanpa rasa apresiasi dan terlantun-lanjur...tanpa merenung isyarat2.



Friday, December 18, 2009

Jurnal II : Suatu Transformasi Rasa

Petang menular beserta hujan renyai. Aku masih memeta batu tanda untuk Pekau masuk dengan bulldozer esok. Lecah tak seberapa namun but getah mulai memberat meletih kaki dek lekapan tanah, apatah lagi akar selirat menyangkut langkahan. Penat, aku duduk dibanir Batang Terap yang tinggi. Tak berapa lama hujan pun berhenti dan mentari petang memancar dari balik awan. Cahayanya menerobos dari rabung pohonan...bergaris-garis memanah tanah dan daunan. Buat beberapa lama aku hanya melihat dan mendengar, bersandar dengan sunyi dan damai alam. Untuk saat itu aku tahu aku harus merakam permandangan, kedalam otak dan kemudiannya dengan kamera. Permandangan sebegini akan hilang nanti.

Perasaan berbaur untuk seketika memikirkan hal itu namun ketenangan terus memeluk. Kiranya kebeningan saat itu sangat lebih penting untuk dihayati...dan aku membiarkan diri dipeluk alam sekeliling. Jarum-jarum cahaya, akar dan rimbunan hijau, bauan segar tanah dan warna dan bayang batang serta ranting-ranting...













Sebentar aku turun ke sungai, satu-satunya kawasan yang tak akan terusik. Airnya mengalir perlahan bernafas lesu. Mengail disini dapat juga keli dan sesekali kalau nasib baik lampam sebesar tiga atau empat jari.



Ada semacam suatu rasa terkilan tatkala aku pulang petang itu. Entah apa tak dapat aku rumuskan. Mungkin limpahan rembang mentari dan bayang-bayang pohonan didada bumi yang menyuntik rasa itu. Esok pohon-pohon akan rebah. Daun-daun meringkai akan kering dan gugur. Warna dan bentuk kawasan tadi akan bertukar. Gerak-hias alam lingkungan itu akan berubah denyutannya.
























Entahlah. Aku kira begitulah kemahuan manusia merubah corak alam.


Salam Maal Hijrah.

Selamat Datang

Selamat Datang ke blog Zehann ur Rakhie.

Memperkatakan / membincangkan mengenai segala yang berkaitan dengan karya, dan kegiatan serta aktiviti terkini beliau dari masa ke semasa.

Sepatah dua kata dari Zehann ur Rakhie :-

Pertama saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sekalian peminat dan pembaca karya saya. Terima kasih kepada Tuan Halim yang membenarkan saya berkongsi ilham dan kisah dan mungkin kepada lebih ramai lagi. Penghargaan saya juga kepada penulis-penulis blog yang pernah membuat ulasan-ulasan terhadap karya saya terutama kepada sdr Fadz, Khar, Rose Harissa, Stella Sakuragi, Qunia,Knew rule dll. Terima kasih kepada pengendali blog ini, sdr saya - Sirna Salam kerna membantu menjayakan blog ini dengan sokongan rakan-rakan penulis.

Sekian Terimakasih,

Zehann ur Rakhie.

Terima kasih kepada peminat dan para pemgunjung laman blog ini dan berharap akan mendapat sokongan. Secara peribadi, saya amat berharap agar karya beliau terutama R.A.A.H dapat di terbitkan dengan lebih banyak dan mungkin akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris secepat mungkin agar ianya dapat dikongsi oleh seluruh pembaca dimana sahaja lebih-lebih lagi yang sentiasa mengikuti kisah-kisah Vampire dan cerita seram/epik.

sekian,

Sirna Salam